Anggota bomba sukarela dikhuatiri lemas terjatuh ke tasik semasa latihan bot

9 Mac 2026, 7:12 AM
Anggota bomba sukarela dikhuatiri lemas terjatuh ke tasik semasa latihan bot

IPOH, 9 MAC: Seorang anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tasik semasa menjalankan latihan dan pengujian bot di Jalan Lahat Mines, Bandar Baru Lahat Mines dekat Pasir Puteh, semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata mangsa, Ka-Jun Cheng Siew, 25, merupakan ahli PBS Menglembu.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 7.27 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh serta Ipoh, dengan bantuan PBS Menglembu, Pekan Baru dan Pasir Pinji, bergegas ke lokasi kejadian.

“Mangsa bersama pasukannya menjalankan latihan dan pengujian bot sejak 4 petang melibatkan 16 anggota PBS menggunakan tiga bot. Pada peringkat awal latihan, mangsa memakai peranti pengapungan peribadi (PFD). Namun selepas latihan hampir selesai pada 7.10 malam, mangsa kembali menaiki bot tanpa memakai PFD,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sayani, mangsa menaiki bot bersama seorang pemandu sebelum kedua-duanya dipercayai terjatuh ke dalam tasik ketika pemandu membuat pusingan U di tengah tasik. Pemandu bot berjaya diselamatkan oleh rakan PBS lain, manakala mangsa dipercayai tenggelam.

“Jarak mangsa terjatuh dianggarkan kira-kira 150 meter dari tebing. Operasi pencarian sedang dijalankan dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.