SHAH ALAM, 9 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berangkat ke Program Santuni Bazar Ramadan 2026 di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Seksyen 13, di sini semalam.
Keberangkatan tiba Baginda disambut Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Mohamad, EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop.
Dalam majlis berkenaan, Baginda meluangkan masa menyantuni usahawan di bawah program Platform Selangor (PLATS).
Baginda turut mengunjungi reruai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta menerima kit sempena Kempen Internet Selamat.
Baginda turut berkenan menyempurnakan penyampaian cek cura serta sijil penghargaan kepada penaja dan rakan strategik yang menyokong penganjuran Bazar Ramadan Stadium Shah Alam 2026.
Baginda turut berkenan membeli juadah berbuka puasa dan menyantuni peniaga serta pengunjung.







