Aaron–Wooi Yik gagal tundukkan beregu Korea Selatan di All England

9 Mac 2026, 12:30 AM
Aaron–Wooi Yik gagal tundukkan beregu Korea Selatan di All England

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Harapan beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjuarai Kejohanan Badminton All England 2026 tidak kesampaian selepas tewas di pentas akhir, sekali gus melanjutkan kemarau 19 tahun Malaysia dalam acara tersebut.

Dalam pertarungan sengit di Arena Utilita Birmingham semalam, pasangan nombor dua dunia itu tewas 21-18, 12-21, 21-19 kepada juara bertahan dari Korea Selatan Kim Won Ho-Seo Seung Jae.

Won Ho-Seung Jae yang juga beregu nombor satu dunia menampilkan aksi agresif untuk menundukkan Aaron-Wooi Yik meskipun tewas set pertama 18-21.

Pilihan utama itu seterusnya berjaya bangkit di set kedua dengan keputusan meyakinkan 21-12 sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-19 dalam tempoh 63 minit.

Keputusan tersebut menyaksikan Aaron-Wooi Yik sekali lagi terlepas peluang merangkul gelaran sulung kejohanan berprestij itu selepas tewas pada perlawanan akhir edisi 2019 dan 2024.

Kali terakhir wakil Malaysia menjuarai kejohanan bertaraf Super 1000 itu ialah pada edisi 2007 menerusi gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang mengejutkan pasangan nombor satu dunia ketika itu dari China Cai Yun-Fu Haifeng.

Selaku juara, Won Ho-Seung Jae membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$107,300 (RM423,466), sementara Aaron-Wooi Yik meraih AS$50,750 (RM200,288).

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.