SHAH ALAM, 8 MAC: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menzahirkan ucapan takziah atas pemergian tokoh ilmuwan Islam tersohor, Profesor Diraja Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, yang disifatkannya sebagai kehilangan besar kepada dunia intelektual Islam.
Menerusi hantaran di Facebook, Amirudin berkata pemergian tokoh tersebut amat dirasai khususnya dalam kalangan umat Islam di Malaysia yang banyak mendapat manfaat daripada sumbangan pemikiran dan karya beliau.
“Dunia Islam khususnya umat Islam di Malaysia kehilangan sosok tokoh murabbi yang telah menyumbangkan seluruh kehidupannya terhadap perkembangan dunia intelektualisme Islam,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Innalillahiwainnailaihirajiun. Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum dan berdoa agar roh Almarhum dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.
Allahyarham Syed Muhammad Naquib Al-Attas merupakan antara tokoh pemikir Islam paling berpengaruh di Malaysia dan dunia. Beliau dikenali melalui gagasan Islamisasi ilmu serta usaha memperkasa tradisi intelektual Islam dalam bidang falsafah, pendidikan dan tamadun.
Dilahirkan pada 5 September 1931 di Bogor, Indonesia, Allahyarham mendapat pendidikan di beberapa institusi ternama termasuk Universiti Malaya, Universiti McGill di Kanada dan Universiti London.
Beliau juga merupakan pengasas Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) serta banyak menghasilkan karya penting berkaitan falsafah, sejarah dan pemikiran Islam yang menjadi rujukan sarjana di seluruh dunia.








