Pelaburan rancak, Selangor tetap utama kebajikan golongan rentan – MB

8 Mac 2026, 9:00 AM
Pelaburan rancak, Selangor tetap utama kebajikan golongan rentan – MB
Pelaburan rancak, Selangor tetap utama kebajikan golongan rentan – MB

GOMBAK, 8 MAC: Kerajaan Negeri menegaskan pembangunan pesat serta kemasukan pelaburan yang semakin rancak di Selangor tidak meminggirkan golongan rentan, sebaliknya pelbagai inisiatif terus diperkasa bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seiring pencapaian ekonomi yang memberangsangkan, Kerajaan Negeri tetap memberi perhatian kepada kumpulan yang memerlukan sokongan dan bantuan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama penerima sumbangan hari raya dari golongan rentan Dun Gombak Setia di Dewan Beringin Sri Gombak pada 8 Mac 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Kita rasa gembira sebab kita dapat meneruskan kesinambungan program kebajikan, pembangunan dan kesejahteraan. Baru beberapa hari lepas, telah diumumkan, Selangor mencatatkan jumlah pelaburan kedua tertinggi di Malaysia.

“Daripada pelaburan itu, kita cipta peluang pekerjaan, sampai September sahaja, kita cipta lebih 43,000 kepada masyarakat. Tapi bagi Kerajaan Negeri, kita tidak puas hati dengan benda ini sahaja kerana kita tahu, di saat ada pembangunan, pelaburan masuk, masih ada juga yang memerlukan sokongan.

“Sebab itu Kerajaan Negeri dalam Belanjawan lepas kita umumkan BINGKAS tambahan sebab ada orang yang tiba-tiba diserang dengan masalah, kehilangan kerja dan boleh jatuh miskin tegar,” katanya berucap pada majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia di Dewan Beringin Taman Seri Gombak, hari ini.

Hanafiah Yahya, 68, Zamri Sarban 61 dan Kamal Samsuri 64 menunjukkan wang sumbangan yang mereka terima ketika majlis penyerahan sumbangan hari raya kepada golongan rentan Dun Gombak Setia oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Beringin Sri Gombak pada 8 Mac 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Pada majlis itu, seramai 1,500 golongan rentan di Parlimen Gombak menerima sumbangan Aidilfitri berjumlah RM750,000 daripada MBI dengan majlis penyerahan disempurnakan Amirudin di tiga lokasi iaitu Masjid At-Taqwa Selayang Baru, Dewan Beringin Taman Seri Gombak dan Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU5, hari ini.

Amirudin dalam Belanjawan 2026 mengumumkan Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif khas baharu iaitu BINGKAS Tambahan (BINGKASAN) dengan peruntukan RM5 juta.

Menurutnya, peruntukan keseluruhan RM103 juta bagi BINGKAS dan BINGKASAN. BINGKAS menawarkan RM300 sebulan selama 24 bulan untuk barangan keperluan asas, ubat-ubatan, dan kelengkapan pendidikan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.