Ramadan: Pengorbanan wanita di sebalik tabir wajar dihargai

8 Mac 2026, 7:24 AM
Ramadan: Pengorbanan wanita di sebalik tabir wajar dihargai

SHAH ALAM, 8 MAC: Pengorbanan wanita yang memikul pelbagai peranan dalam keluarga khususnya sepanjang Ramadan wajar dihargai kerana banyak usaha mereka berlaku di belakang tabir dan sering tidak disedari.

EXCO Pembangunan Wanita, Anfaal Saari berkata ramai wanita memulakan hari lebih awal untuk menyediakan sahur, mengejutkan ahli keluarga serta mengurus rumah tangga sebelum memulakan rutin harian.

Menurutnya, tanggungjawab itu berterusan sehingga waktu berbuka walaupun selepas seharian bekerja.

“Selepas seharian bekerja, mereka masih memikirkan persiapan berbuka, memasak dan memastikan rumah tangga terus terurus.

“Banyak daripada usaha ini berlaku di belakang tabir dan jarang disedari, tetapi sangat besar maknanya,” katanya menerusi Facebook.

Sempena Hari Wanita Antarabangsa yang disambut setiap 8 Mac, Anfaal turut merakamkan penghargaan kepada wanita di Selangor dan seluruh negara yang terus memberi komitmen kepada keluarga serta masyarakat.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning, S. Preakas berkata sambutan Hari Wanita Antarabangsa menjadi peringatan bahawa kesaksamaan gender merupakan prinsip yang dijamin dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata pendidikan merupakan asas penting kepada pemerkasaan wanita dan setiap kanak-kanak perempuan perlu diberikan peluang untuk belajar serta mencapai potensi penuh mereka.

Katanya, langkah itu membolehkan golongan wanita membina masa depan lebih baik selain menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

“Penyertaan wanita dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga perlu terus diperkasa sejajar dengan dunia yang semakin dipacu inovasi.

“Apabila wanita dan kanak-kanak perempuan diperkasa melalui pendidikan, peluang dan perlindungan undang-undang yang sama rata, masyarakat yang lebih inklusif dan adil dapat dibina,” katanya.

Tarikh 8 Mac disambut sebagai Hari Wanita Antarabangsa, iaitu hari peringatan global yang diraikan setiap tahun bagi menghargai sumbangan serta peranan besar wanita dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk keluarga, masyarakat, ekonomi dan pembangunan negara.

Sambutan ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesaksamaan gender serta memperjuangkan hak dan peluang yang lebih adil untuk wanita di seluruh dunia.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.