BANTING, 8 MAC: Ambuyat, juadah tradisional dari Sabah mencuri perhatian pengunjung di Bazar Ramadan Banting Baru apabila hidangan tersebut mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pembeli yang ingin mencuba makanan unik dari Borneo.
Peniaga, Haryanti Sahril, 35, berkata beliau membawa hidangan itu buat pertama kali ke bazar berkenaan dan tidak menyangka ia menerima sambutan positif pengunjung.
"Ambuyat diperbuat daripada tepung kanji atau sagu yang dihidangkan bersama campuran sayur dan air ikan, selain sambal istimewa yang menjadi pelengkap rasa. Walaupun sebelum ini ramai di Semenanjung kurang mengenali ambuyat, kini ia semakin viral dan semakin ramai pengunjung ingin mencubanya.

"Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat baik dan ramai pelanggan yang mencuba buat kali pertama akan datang semula untuk membeli," katanya ketika ditemui di bazar berkenaan.
Haryanti turut memuji inisiatif Platform Selangor (PLATS) yang disifatkan membantu merancakkan jualan peniaga bazar selain memberi manfaat kepada pembeli.
"Bagi saya, inisiatif PLATS ini sangat membantu kerana ia menarik lebih ramai pengunjung ke bazar, selain memberi peluang kepada pembeli berjimat melalui kupon digital yang disediakan," katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Muhammad Alisyah Md Alimon, 26, pula menawarkan nasi ambeng, hidangan tradisional masyarakat Jawa yang terkenal dengan konsep makan secara berkongsi.
Beliau berkata keistimewaan nasi ambeng yang dijual di gerainya, terletak pada serunding yang menjadi pelengkap kepada hidangan tersebut.

"Hidangan ini biasanya dimakan beramai-ramai dan secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan," katanya.
Nasi ambeng yang dijual di gerainya turut dilengkapi dengan ayam masak kicap, sambal tempe, mihun serta ikan masin dan ditawarkan pada harga RM8 sebungkus.
Muhammad Alisyah yang berasal dari Banting berkata hidangan tradisional tersebut masih mempunyai peminat tersendiri dan sering menjadi pilihan pengunjung di bazar Ramadan.
"Terima kasih juga kepada PLATS kerana banyak membantu dan memudahkan peniaga kecil seperti kami. Diharapkan lebih banyak inisiatif dapat dilaksanakan bagi menyokong peniaga tempatan," katanya yang hampir 20 tahun mengusahakan perniagaan nasi ambeng turun temurun.












