SHAH ALAM, 7 MAC: Orang ramai dipelawa memberi cadangan nama rasmi kepada melon lembut premium yang berjaya dihasilkan Selangor menerusi inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) di bawah Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian.
EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata cadangan tersebut boleh dihantar menerusi ruangan komen atau mesej peribadi (inbox) di Facebook rasmi beliau https://www.facebook.com/share/v/1ChEpKMozJ/?mibextid=wwXIfr.
Jelas beliau, pemenang yang terpilih berpeluang mendapatkan ganjaran tunai.
“Saya mohon kerjasama dari rakan-rakan dan seluruh warga Selangor untuk beri cadangan nama yang sesuai untuk melon terbaru ini.
“Insya-Allah, nama yang dipilih nanti akan menerima hadiah misteri daripada saya. Peraduan ini dibuka sehingga penghujung Syawal nanti. Anda boleh beri cadangan nama di ruangan komen atau terus inbox saya. Selamat mencuba!,” katanya.
Pada 28 Februari, Izham berkata Kerajaan Negeri terus melakar pencapaian dalam sektor agromakanan apabila berjaya menghasilkan melon jenis lembut menerusi inisiatif R&D di bawah Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian.
Penghasilan varieti baharu itu merupakan langkah strategik Kerajaan Negeri untuk memodenkan industri pertanian negeri sekali gus meningkatkan nilai komersial hasil tanaman tempatan dan daya saing di pasaran.
Sebelum ini, pengenalan melon premium MeloSel (Melon Selangor) berjaya meningkatkan pendapatan petani apabila dijual sekitar RM15 sekilogram berbanding melon biasa sekitar RM4 sekilogram.
Namun, varieti tersebut masih sukar diperoleh di pasaran berikutan tahap produktiviti yang terhad.
Ketika ini tanaman melon premium Selangor diusahakan secara komersial di Kampung Endah, Kuala Langat melibatkan kira-kira 10,000 pokok dan disasarkan meningkat kepada 30,000 pokok bagi memenuhi permintaan domestik.








