Oleh Shafiq Said
Ilustrasi Muizzah
Ketika editor bertanya kepada saya: Siapakah penulis tempatan yang kalau boleh kita samakan dengan Vasko Popa? Lama saya terdiam. Kepala mengingat dan terjelma sajak-sajak Suhaimi Hj Muhammad di zaman absurdnya tetapi bayangan itu pecah, terjelma pula Hilmi Rindu yang bermain imej dan objek harian tetapi bayangan itu kian mengecil, muncul Latiff Mohidin dengan sajak-sajaknya yang melukis tetapi bayangan itu mengalir begitu sahaja, datang pula sajak-sajak pasca perang A Samad Said tetapi ketika A Samad Said ingin mengenang, Vasko Popa ingin melupakan. Tidak ada yang menulis seperti Popa.
Dalam satu temu ramah, Vasko Popa digasak soalan agar dia membuka pintu masuk ke dunia sajaknya dengan lebih mudah. Mereka tanya, bagaimana kau mencipta sajak? Balas Popa bersahaja: Kenapa kau tak tanya batu bagaimana ia melahirkan pasir, atau burung bagaimana anaknya diciptakan atau perempuan bagaimana dia mengandungkan anak?
Suatu hari, sepucuk khabar masuk ke dalam kotak e-mel. Rakan penulis, Maria Ava Liyana bertanya berita dan membuka rahsia bahawa ada satu khazanah sastera yang belum diterbitkan iaitu terjemahan sajak-sajak Vasko Popa oleh maestro metafora Malaysia, T Alias Taib. Entah kenapa dada saya berdebar-debar, sedih dan gembira bertunda-tunda. Sedih mungkin disebabkan terjemahan itu tidak sempat diselesaikan selama hayat arwah tetapi saya gembira kerana usaha terjemahan itu telah bermula dan beliau lebih awal melihat potensi karya penyair ini. Oleh sebab itu saya rasa terpanggil untuk meneruskan hasrat terjemahan tersebut. Menginjak di denai yang telah dibuka T Alias Taib, saya dekati penyair eksentrik dari Serbia ini.
Dalam “The secret of a poem”, Popa menulis:
“Mereka tanya saya, apa makna sajak-sajak yang kau tulis itu?”
Itu juga soalan yang saya ajukan apabila membaca satu dua sajak Vasko Popa kali pertama. Apa makna yang cuba dia sampaikan? Tetapi itu mustahil. Mana mungkin menikmati sebuah binaan kota hanya dengan merenung seketul-dua bongkah batu-batanya? Walaupun terasa klise tetapi tetap perlu diulang, bukan tuntas makna yang dicari dalam sajak.
Popa menjawab:
“Lebih baik mereka tanya pokok epal apa makna buahnya. Jika pokok itu boleh berkata-kata, saya fikir mungkin dia akan jawab, “gigit ke dalam isi sebiji epal dan kau akan rasai makna itu.”
Sajak-sajak Vasko Popa menerjah ketenangan seolah angin dingin menerjah wajah saat kita buka jendela terhadap ribut salji. Kejutan menyihir kita untuk berdiri lebih lama di hadapan jendela itu biar pun bibir mulai kebas, telinga sakit dan hidung berair. Dalam sajak Keldai, Popa menulis: sesekali ringkiknya/ berguling dalam debu/ sesekali/ barulah kau terlihat ia/ selain itu/ kau hanya nampak telinganya(...). Kita akan terpukau dengan ungkapan magis Popa menjalin sejarah dan dongeng rakyat, mitologi, imej tradisional dengan imej moden pasca perang dunia, mengimbangi bentuk surealis, humor dan patriotisme. Ternyata, sajak-sajak beliau ialah cita rasa dan pandangan berbeza daripada apa yang telah ada dalam rumah sastera kita yang hanya baru menjeling-jeling pendekatan sajak sebegini. Jendela yang terbuka luas itu membenarkan kita menikmati ribut di luar rumah dalam kabus dan kabur dunia yang dibawanya.
Berbekalkan naskhah terjemahan Anne Pennington, Vasko Popa Collected Poems 1943-1976, saya mula menyalin imej-imej ciptaan Popa ke dalam kepala daripada bongkah-bongkah Bark (Salakan), Unrested-Field (Padang Resah), Earth Erect (Bumi Tumbuh), Secondary Heaven (Syurga Kedua) hinggalah pada satu hari saya terjaga, dan telah berada dalam kota niskala itu.
Kota yang bentengnya rongak dan menaranya pecah di sini-sana kesan perang dunia kedua itu, kelihatan sedang dibaiki dengan binaan yang lebih moden. Vasko Popa memang dikenali sebagai penulis gaya modernis berjalan seiring komrad penyair, Miodrag Pavlovic dan Stevan Raickovic. Mereka ini yang terkesan langsung oleh perang dunia, perebutan sempadan, holokos, bahkan perang nuklear, mulai bergerak meninggalkan gaya tradisional dalam menghadapi krisis eksistensial masing-masing. Bezanya, dalam tulisan-tulisan Popa, kehancuran disebabkan perang itu tidak jelas terbaca.
Popa ialah Vasko (raja) di kota ini. Kota yang merintang tidak dalam bentuk tanah sempadan yang kita fahami tetapi merentang dari tahun 1922 hingga 1991. Kubu yang dibina bukanlah menghalang untuk kita masuk ke kota ini tetapi itulah batu tanda memujuk kita melewati gerbangnya. Gerbang yang kata Popa dibina daripada tulang untuk menyambut kalian.
PERSEDIAAN UNTUK SATU SAMBUTAN
kita bina satu gerbang
dari tulang kita yang mekar
di laluan masuk syurga
kita serakkan separuh roh sendiri
menaiki lereng syurga (...)
Di jantung kota syurga ini tidak ada singgahsana buat semayam tetapi ada pentas. Seorang penglipurlara bercerita di pentas itu setiap waktu. Cerita-cerita rakyat dilakonkan dalam busana tradisional tetapi dalam bentuk persembahan moden. Para rakyat duduk di atas batu kuarza di sekeliling pentas, menghargai sejarah bangsa dan menikmati kisah-kisah teladan bentuk baharu.
Di lingkaran pentas yang lebih luar, ada lapangan tempat anak-anak Serbia bermain lompat katak, aci sembunyi, kahwin-kahwin dan bermacam lagi permainan tradisi. Anehnya permain-permainan ini terasa terhubung dengan dunia kita di seberang sini walaupun hukum dan peraturannya mungkin berbeza. Inilah cara Vasko Popa menyatakan rasa cinta pada tanah air, dengan mengangkat permainan tradisi dalam sajaknya. Dia mengajarkan bahawa pentingnya permainan untuk membentuk jati diri. Bangsa yang kenal diri tidak mudah diperlecehkan penjajah.
Bilakah kali terakhir kita bermain enjit-enjit semut? Masihkah ‘siapa yang sakit naik ke atas’, dalam permainan itu? Atau pada hari ini, siapa yang sakit dalam permainan, sudah tidak ada kegigihan azam dan usaha untuk memperbaiki diri, dirundung kecewa yang tiada pintu keluarnya lalu tenggelam dalam lohong fahaman nihilisme misalnya. Ini yang Vasko Popa bentengi agar anak bangsanya terus beridentiti dan tahu ke mana arah negara bangsanya ingin tujui. Saya percaya kesakitan dicubit yang dirasai dalam permainan enjit-enjit semutlah yang mengajar jiwa kanak-kanak saya agar bertabah, bertahan dan terus melawan penindasan.
Saya seusaha daya menterjemah segala yang ada di dalam kota ini dengan bahasa yang ada dalam diri. Manual dan hukum di kota ini cuba saya transkripkan dalam sekumpulan batu-bata Popa, dengan judul Syurga Kedua, terbitan Bilik Penyair. Semoga kita semua yang masuk ke dalam kota ini tidak tersesat, tersasar jauh. Sebagai nota terjemahan, berlaku rujuk silang antara dua ikatan batu-bata penyair ini, iaitu Vasko Popa Selected Poem dan Vasko Popa Collected Poem. Walaupun kedua-dua naskhah ini diterjemahkan oleh Anne Pennington, hasil terjemahan agak berbeza berikutan pengalaman dan kefahaman baharu penterjemah, jadi dapat diambil faedah dinamik bahasa dan makna baharu yang terbit dari sajak-sajak Vasko Popa itu dalam proses terjemahan.
Mungkin ada khilaf, atau makna yang hilang sepanjang proses alih wahana itu, tetapi saya memilih untuk bersabar dan menekankan apakah kesan yang dapat diberikan kepada pembaca melalui teks-teks terjemahan ini. Sekurang-kurangnya, kita diberi keberanian melangkah ke luar sempadan sastera tempatan dan berhadapan dengan sosok dan bentuk baru penulisan sajak. Harapan saya, setelah pembacaan dan mendapan itu mematang, kita menjadi pembaca yang naik satu takah seleranya terhadap karya sastera yang bermutu.
Popa dalam sajaknya, selalu menggunakan gaya dialog, dan kita turut merasakan tekanan menerusi perbualan tersebut. Ini jarang ada dalam sajak-sajak penulis tempatan yang banyak mengambil pendekatan membenarkan pembaca menikmati hanya dari luar kotak kaca, seolah pameran. Di dalam sajak Bawah Tanah, gaya pengucapan ini begitu jelas:
BAWAH TANAH
otot kejahatan otot daging
akhirnya sama saja
jadi apa perlu kita lakukan sekarang
kita jemput segala tulang dari segala zaman
kita panggang di bawah matahari
apa perlu kita lakukan kemudian
kemudian kita tumbuh murni
terus tumbuh semahu-mahunya
apa lagi kita lakukan selepas itu
tak ada apa-apa kita hanya merayau ke sana sini
kita akan jadi makhluk tulang yang abadi
menunggu bumi mengantuk
Serasa Vasko Popa, sang raja yang dibesarkan derita perjuangan, perang dan penjara bukanlah sangat ingin bersajak tetapi ingin memanggil kita berbual bagai figura ayah kepada anak. Sebagai pejuang anti-fasis, Popa seperti ingin menyampaikan wasiat kepada anak-anak Serbia dan anak-anak sastera tentang derita hidupnya. Saya ingin percaya begitu.
Berbalik kepada soalan editor kepada saya di awal tulisan ini, mungkin tidak adil untuk kita masukkan Popa ke dalam mana-mana penjara. Biarlah Popa berada dalam kota binaanya sendiri. Keinginan untuk mengelaskan seseorang dalam satu kelompok ialah ketidakjujuran kita untuk mengenali seseorang. Biarlah Vasko Popa menjadi Vasko Popa, seberapa aneh pun dunianya.
Tiada apa lagi dapat saya harapkan. Vasko Popa, raja kota niskala, telah saya baca luka di batu-bata kotamu, telah saya rasai pedih penindasan terhadap bangsamu. Kini saya menjemputmu bertamu ke rumah sastera kami, sarunglah sepersalinan daripada bahasa kami dan bawalah segala alat permainanmu untuk kami.
Untuk Vasko Popa,
Bawakan tulang-tulangmu
Bawakan permaidani lusuhmu
Bawakan kerikil dan kuarza mu
Bawakan derita perangmu
Kami menanti di padang resah itu.








