Bazar Aidilfitri Jalan Taiping kini lebih meriah dengan pintu gerbang ikonik baharu

6 Mac 2026, 2:33 PM
Bazar Aidilfitri Jalan Taiping kini lebih meriah dengan pintu gerbang ikonik baharu
Bazar Aidilfitri Jalan Taiping kini lebih meriah dengan pintu gerbang ikonik baharu

KLANG, 6 MAC: Bazar Aidilfitri Jalan Taiping di Bandar Diraja Klang kini tampil dengan pintu gerbang khas sebagai simbol ikonik baharu, satu kelainan untuk menarik lebih ramai pengunjung ke lokasi popular itu.

Timbalan Datuk Bandar Mohd Zary Affendi berkata kewujudan pintu gerbang berkenaan menjadi daya tarikan tambahan kerana sebelum ini bazar itu tidak mempunyai mercu tanda khas.

Timbalan Datuk Bandar Mohd Zary Affendi ditemui media selepas merasmikan pintu gerbang khas di Bazar Aidilfitri Jalan Taiping, Klang pada 6 Mac 2026. Foto Facebook Majlis Bandaraya Diraja Klang

“Pintu gerbang ini memudahkan pengunjung mengenali lokasi bazar serta memeriahkan suasana,” katanya selepas merasmikan pintu gerbang sementara bernilai RM20,000 itu, yang dijangka boleh digunakan semula bagi sambutan perayaan lain pada masa hadapan.

Bazar Aidilfitri Jalan Taiping menempatkan 343 gerai yang menjual pelbagai barangan periapan menyambut Aidilfitri termasuk pakaian, songkok, aksesori dan barangan perayaan lain.

Bazar ini turut tersenarai antara bazar Aidilfitri paling popular di Lembah Klang, selain bazar di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Timbalan Datuk Bandar Mohd Zary Affendi menyantuni pengunjung dan peniaga Bazar Aidilfitri Jalan Taiping, Klang pada 6 Mac 2026. Foto Facebook Majlis Bandaraya Diraja Klang

Dalam majlis sama, Mohd Zary menyantuni peniaga dengan menyerahkan duit raya dan melawat beberapa gerai sebelum menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim di Masjid Bandar Diraja Klang.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Baru Klang Dr Quah Perng Fei berkata usaha itu selaras dengan hasrat menjadikan Bandar Diraja Klang sebagai destinasi tarikan pelancong.

“Tahun ini pengunjung bukan sahaja datang membeli-belah, tetapi juga dapat menyaksikan pintu gerbang ikonik ini. Dengan kemudahan LRT3 yang bakal beroperasi berdekatan, suasana bazar dijangka lebih meriah pada masa depan,” katanya.

Beliau turut memuji inisiatif Majlis Bandaraya Diraja Klang dan berharap peruntukan pada tahun hadapan dapat ditingkatkan supaya pintu gerbang lebih besar dan mudah dilihat orang ramai dapat diwujudkan.

Timbalan Datuk Bandar Mohd Zary Affendi menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim di Masjid Bandar Diraja Klang pada 6 Mac 2026. Foto Facebook Majlis Bandaraya Diraja Klang

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.