SHAH ALAM, 6 MAC: Surah al Mulk ayat 16 merupakan peringatan tegas, bahawa bumi yang kita diami ini juga boleh mendatangkan azab jika manusia terus sombong dan enggan tunduk kepada perintah Allah SWT.
Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi berkata ayat berkenaan bagaimanapun masih lagi mencerminkan kasih sayang Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW.
“Dalam ayat ini, Allah SWT beri amaran dan ancaman kepada golongan yang tidak mahu beriman dengan ajaran yang disampaikan oleh utusan Allah SWT.
“Tetapi Allah SWT masih lagi zahirkan dimensi kasih sayang-Nya, tidak serta merta kita ini dihapuskan seperti umat terdahulu. Allah SWT beri penangguhan supaya kita mengambil iktibar daripada kisah yang berlaku,” katanya.

Terdahulu, ayat berkenaan dibacakan oleh Dato’ Menteri Besar dengan bimbingan Ahmad Fakhrurrazi menerusi program 30 hari 30 ayat al-Quran bersama Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Ramadan.
Dalam pada itu, Ahmad Fakhrurrazi mengingatkan umat Islam tidak memahami atau mengambil maksud ayat 16 dalam surah al Mulk secara zahir, sehingga mempercayai keberadaan Allah SWT di langit.
Jelasnya, ajaran atau fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah menegaskan bahawa Allah SWT itu wujud tanpa bertempat, tidak berarah, dan tidak boleh dibagaimanakan seperti makhluk lain.
“Maka di sini, ditakwilkan bahawa ia (langit) merujuk kepada para malaikat yang Allah SWT arahkan mereka untuk hancurkan golongan yang terus membuat ingkar,” katanya.

Sebagai penutup kupasan, Amiruddin menyifatkan tafsiran ayat berkenaan sebagai anjakan yang besar berbanding 15 ayat dalam surah al Mulk sebelum ini yang hanya memberi peringatan tentang kekuasaan Allah SWT.
“Kali ini Allah SWT ingatkan salah satu daripada azab dan perkara yang dilakukan terhadap umat terdahulu, sebagai ancaman kepada kita.
“Semoga kita saling ingat mengingati, ada tanggungjawab yang harus dilakukan dan sentiasa sedar fungsi hamba-Nya iaitu untuk sentiasa bertakwa kepada Allah SWT,” katanya.








