ALOR SETAR, 6 MAC: Seorang doktor swasta kerugian RM3.8 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tawaran awam permulaan (IPO) syer membabitkan mata wang China dan Hong Kong yang tidak wujud.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah Supt Syamsyul Anuar Saad berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada 9.30 malam, Rabu lepas.
Beliau berkata lelaki berusia 60 tahun itu tertarik menyertai pelaburan berkenaan selepas melihat iklan syarikat JMC Capital menerusi Facebook ketika berada di tempat kerjanya di Jalan Putra, di sini pada 26 Ogos tahun lepas.
“Mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak 50 peratus dalam tempoh dua minggu daripada modal yang dilaburkan. Mangsa telah berurusan dengan seorang wanita sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp dikenali sebagai JMC Capital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syamsyul Anuar berkata ahli kumpulan berkenaan terus meyakinkan mangsa bahawa pelaburan tersebut mampu memberikan pulangan yang tinggi.
Beliau berkata mangsa membuat pindahan wang berjumlah RM3,805,010 menerusi 49 transaksi ke sembilan akaun bank berbeza antara 4 Nov 2025 hingga 4 Feb lepas.
“Mangsa menyedari dirinya ditipu selepas tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan,” katanya.
Sehubungan itu, Syamsyul Anuar menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan sebarang tawaran pelaburan dalam talian serta memastikan pelaburan yang disertai mendapat kelulusan pihak berkuasa berkaitan.







