SUKMA 2026: Media Selangor libatkan pencipta kandungan, pempengaruh buat liputan

6 Mac 2026, 6:00 AM
SUKMA 2026: Media Selangor libatkan pencipta kandungan, pempengaruh buat liputan
SUKMA 2026: Media Selangor libatkan pencipta kandungan, pempengaruh buat liputan
SUKMA 2026: Media Selangor libatkan pencipta kandungan, pempengaruh buat liputan

SHAH ALAM, 6 MAC: Media Selangor merancang pendekatan liputan lebih segar bagi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 termasuk memberi ruang kepada pencipta kandungan dan pempengaruh media sosial untuk turut serta membuat liputan acara sukan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree berkata pendekatan itu diambil bagi menyesuaikan liputan sukan dengan perubahan tabiat generasi muda yang lebih cenderung mendapatkan maklumat melalui platform digital dan pencipta kandungan.

Menurut beliau, langkah itu juga diinspirasikan daripada pendekatan yang digunakan semasa Sukan Olimpik Paris 2024, yang turut memberi ruang kepada pencipta kandungan menghasilkan liputan di lokasi pertandingan.

“Maknanya liputan bukan hanya datang daripada media konvensional seperti RTM, Bernama atau Astro dan Media Selangor tetapi juga pencipta kandungan yang mempunyai pengikut sendiri.

“Mungkin nanti pencipta kandungan popular seperti Khairul Aming boleh datang membuat liputan. Kita mahu membuka ruang kerana generasi muda hari ini lebih mengikuti pencipta kandungan dan pempengaruh di media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam rancangan Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV yang membincangkan topik Gelombang Teknologi dan Transformasi Kandungan Berita, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree ketika ditemu bual dalam rancangan Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV yang membincangkan topik Gelombang Teknologi dan Transformasi Kandungan Berita. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Tarik perhatian generasi muda

Jelas Mohamed Fareed, pendekatan itu penting bagi memastikan liputan SUKMA dapat menarik perhatian golongan muda khususnya Generasi Z yang lebih mengikuti perkembangan melalui pempengaruh atau pemimpin pendapat utama (KOL).

“Generasi muda hari ini mungkin tidak mengikuti media konvensional, tetapi mereka mengikuti pencipta kandungan dan pempengaruh di media sosial.

“Sebab itu kita mahu membuka ruang kepada mereka supaya liputan SUKMA dapat sampai kepada audiens yang lebih luas,” katanya.

Menurut beliau, SUKMA 2026 yang dijadual berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos juga amat dinantikan rakyat Selangor kerana negeri itu menjadi tuan rumah kejohanan berkenaan selepas 26 tahun.

Untuk rekod, Media Selangor dilantik sebagai penyelaras komunikasi, penyiaran dan digital bagi temasya SUKMA dan Para SUKMA 2026.

Kapal terbang Sekinchan menjadi tarikan utama pelancong yang berkunjung ke daerah itu sempena Tahun Melawat Selangor 2026. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Peranan promosi pelancongan Selangor

Dalam perkembangan berasingan, Mohamed Fareed berkata Media Selangor turut memainkan peranan membantu mempromosikan destinasi pelancongan di negeri itu khususnya menjelang Tahun Melawat Selangor 2026.

Menurut beliau, Selangor merupakan pintu masuk utama ke Malaysia kerana kebanyakan pelancong antarabangsa tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Subang atau Pelabuhan Klang.

“Oleh sebab itu cabaran kita ialah memastikan pelancong yang tiba di pintu masuk ini meluangkan masa dan bermalam di Selangor sebelum meneruskan perjalanan ke negeri lain.

“Media Selangor bekerjasama rapat dengan Tourism Selangor untuk mempopularkan pelbagai lokasi pelancongan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata selain destinasi popular seperti Sekinchan dan Kuala Selangor, Selangor juga mempunyai banyak tarikan pelancongan di kawasan bandar termasuk pelancongan gastronomi yang terkenal di Lembah Klang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.