SABAK BERNAM, 5 MAC: Seramai 200 keluarga yang terjejas akibat fenomena air pasang besar Monsun Timur Laut menerima bantuan RM500 setiap keluarga melalui Tabung Bencana Kerajaan Negeri.
Sumbangan disampaikan EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim pada Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan (BWI) di Kompleks Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam.
Suee Lim berkata bantuan itu disegerakan memandangkan sambutan Aidilfitri semakin hampir bagi meringankan beban mangsa yang terjejas.
“Bagi fasa pertama hari ini kita salurkan bantuan kepada 200 penerima dengan jumlah keseluruhan RM100,000,” katanya kepada media selepas majlis berkenaan.
Menurutnya, kejadian air pasang besar dan angin ribut pada November 2025 menyebabkan beberapa kawasan pesisir pantai di daerah itu dilanda banjir termasuk Sekinchan, Parit Lima, Sungai Besar dan Sungai Air Tawar.
Suee Lim berkata kejadian ban pecah turut berlaku di beberapa lokasi sehingga air memasuki kawasan penempatan penduduk.
Katanya, Kerajaan Negeri sedang melaksanakan usaha menaik taraf ban di kawasan berisiko bagi mengurangkan impak kejadian sama pada masa hadapan.
“Setakat ini lebih RM4 juta dibelanjakan bagi kerja menaik taraf ban di Sekinchan dan kita akan terus menambah baik struktur tersebut khususnya di kawasan kritikal,” katanya.
Tambahnya, baki penerima akan menerima sumbangan fasa kedua dalam masa terdekat.










