SHAH ALAM, 5 MAC: Surah Al-Mulk ayat ke-15 mengingatkan umat Islam supaya terus berusaha dalam kehidupan di samping menerima takdir yang telah ditentukan oleh Allah SWT.
Timbalan Mufti Pahang Dato' Dr Badli Shah Alauddin berkata ayat tersebut menjelaskan Allah SWT menjadikan bumi ini luas dan mudah untuk manusia meneroka serta mencari rezeki.
"Ayat ke-15 ini memberi peringatan Allah telah menjadikan bumi ini mudah untuk manusia. Maknanya manusia tidak boleh berhenti atau berputus asa, sebaliknya perlu terus bergerak dan berusaha.
"Para ulama tafsir menjelaskan ayat ini mengajar tentang keseimbangan hidup. Allah seolah-olah memberitahu manusia bumi telah dijadikan luas dan mudah untuk diterokai.
"Rezeki juga telah dibentangkan di muka bumi ini dan jalan kehidupan telah tersedia. Manusia hanya perlu meneruskan usaha," katanya ketika menyampaikan kupasan dalam program Tadabbur al-Quran 30 Hari 30 Ayat bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Mengulas lanjut, Dr Badli Shah berkata umat Islam tidak seharusnya terus tenggelam dalam kesedihan akibat kegagalan masa lalu kerana Allah telah membuka pelbagai jalan rezeki kepada manusia.
Katanya, para ulama tafsir menjelaskan rezeki terbahagi kepada beberapa bentuk, antaranya rezeki yang telah dijamin oleh Allah SWT kepada setiap makhluk-Nya.
"Allah tidak akan membiarkan makhluk-Nya kelaparan. Seperti yang disebut dalam Surah Hud ayat 6, tidak ada satu makhluk pun yang bergerak di bumi melainkan Allah menjamin rezekinya.
"Ini memberi pengajaran kepada manusia supaya tidak terlalu risau tentang rezeki sehingga berputus asa atau tertekan kerana Allah telah menjamin rezeki hamba-Nya," katanya.
Beliau turut menjelaskan Islam menggalakkan umatnya untuk memperbanyakkan sedekah kerana setiap pemberian di jalan Allah akan digantikan dengan rezeki yang lebih baik.
Dalam masa sama, katanya, rezeki juga berkait rapat dengan usaha manusia sebagaimana firman Allah dalam Surah An-Najm ayat 39 yang menjelaskan manusia tidak memperoleh sesuatu melainkan daripada usaha yang dilakukannya.
"Ramai orang berjaya kerana mereka bekerja bersungguh-sungguh dan memulakan usaha sejak awal pagi. Rasulullah SAW juga berdoa agar umatnya diberkati pada waktu pagi. Justeru, anak-anak muda perlu bangun awal dan berusaha, bukan menyalahkan takdir apabila usaha sendiri masih kurang," ujar beliau.
Sementara itu, Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kupasan ayat berkenaan memberi peringatan penting tentang keseimbangan antara takdir Allah SWT dan ikhtiar manusia.
"Walaupun sesuatu perkara telah ditentukan oleh Allah, manusia tetap dituntut untuk berusaha menjadi lebih baik.
"Dengan usaha yang bersungguh-sungguh, kita mampu memperbaiki kehidupan, memberi manfaat kepada orang lain serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat," katanya.









