SHAH ALAM, 5 MAC: Hanya 3.1 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 18 hingga 55 tahun dalam sektor formal, atau 41.2 peratus, mencapai penanda aras simpanan persaraan asas sebanyak RM390,000 setakat akhir 2025.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata baki 4.42 juta ahli (58.8 peratus) masih belum mencapai tahap sasaran itu, menunjukkan majoriti pencarum masih belum memenuhi sasaran minimum simpanan bagi persaraan.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan menjangkakan keadaan itu boleh bertambah baik dalam beberapa tahun akan datang sekiranya corak caruman kekal stabil.
“Berdasarkan unjuran semasa, menjelang 2030 sekitar 60 peratus ahli dijangka mencapai penanda aras simpanan asas kira-kira RM390,000 pada usia 60 tahun,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Amir Hamzah berkata kerajaan bersama KWSP telah memperkenalkan beberapa langkah bagi mengukuhkan simpanan persaraan pencarum, termasuk penstrukturan semula akaun KWSP, galakan caruman sukarela dan peluasan program insentif.
Antara inisiatif tersebut ialah i-Saraan, caruman tambahan secara sukarela serta program literasi kewangan bagi menggalakkan rakyat Malaysia merancang persaraan lebih awal.
“KWSP menggalakkan ahli supaya tidak membuat pengeluaran penuh sekali gus, sebaliknya mempertimbangkan pengeluaran secara bulanan supaya simpanan dapat terus berkembang melalui pulangan dividen tahunan,” katanya.
Menurut Amir Hamzah, pendekatan itu dapat membantu memastikan simpanan persaraan bertahan lebih lama serta menyediakan sumber pendapatan yang lebih stabil selepas bersara.
Sementara itu, beliau berkata sebarang cadangan untuk menaikkan umur persaraan mandatori masih dalam kajian Kementerian Ekonomi kerana perkara itu memerlukan penelitian teliti susulan implikasinya terhadap pasaran buruh.
“Isu umur persaraan agak kompleks dan sedang dikaji oleh Kementerian Ekonomi. Implikasinya perlu diteliti termasuk kesan terhadap peluang kenaikan pangkat bagi mereka yang masih berkhidmat,” katanya.








