Dahulu, perbuatan dosa dilakukan secara sembunyi dan diselindungi rasa malu, hari ini keadaannya semakin berubah. Kesalahan yang suatu ketika dahulu cuba ditutup rapi, kini dipamerkan secara terbuka tanpa segan silu.
Lebih membimbangkan, perbuatan itu bukan sahaja dikongsi secara santai, malah dijadikan kandungan media sosial untuk meraih tontonan, tanda suka dan pengikut.
Tutur kata kasar, membuka aib, meninggalkan solat serta pelbagai bentuk maksiat lain seakan-akan dianggap perkara biasa.
Fenomena normalisasi dosa ini menimbulkan persoalan besar tentang kedudukan iman dan rasa malu dalam diri masyarakat, khususnya generasi muda yang membesar dalam dunia digital tanpa sempadan.
Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, perbuatan itu termasuk dalam kategori mujaharah, menceritakan dan menzahirkan kesalahan sedangkan Allah telah menutup aib seseorang.
“Nabi Muhammad SAW ingatkan tentang mujaharah, iaitu orang yang Allah tutup dosanya pada waktu malam, tetapi pada waktu siang dia pergi cerita dan sebarkan kepada orang lain. Hari ini bukan sekadar cerita, tetapi ‘post’ dan buat ‘live’ di media sosial.
“Allah tidak ampunkan orang yang berbangga dengan kesilapan dan dosa yang dia lakukan,” katanya ketika program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Hilangnya rasa malu merupakan petanda krisis iman apabila dosa tidak lagi dianggap sebagai kesalahan, sebaliknya dijadikan bahan tontonan untuk meraih perhatian umum.
Keadaan tersebut turut menjejaskan kefahaman tentang konsep taubat apabila dosa dianggap lumrah dan dilakukan berulang kali tanpa rasa bersalah.
“Sekurang-kurangnya dahulu orang buat salah, ada rasa malu. Rasa malu itu sebahagian daripada iman. Tetapi apabila dosa dijadikan bahan kebanggaan, itu tanda Allah cabut rasa malu daripada hati sebahagian manusia.
“Masalahnya bila dosa sudah dinormalisasikan, orang dah tak rasa apa-apa. Akhirnya dia tak nampak keperluan untuk bertaubat,” jelasnya.

Jangan tunggu tua untuk bertaubat
Dr Abu Hafiz menjelaskan hakikat manusia adalah lemah dan tidak terlepas daripada kesilapan. Namun, kelemahan itu bukan alasan untuk berputus asa daripada rahmat Allah.
Seseorang yang kembali terjatuh dalam dosa selepas bertaubat tidak seharusnya berhenti memohon keampunan, sebaliknya terus kembali kepada Allah dengan penuh keinsafan.
Dalam hadis Qudsi, Allah menceritakan tentang seorang hamba yang berulang kali melakukan dosa dan memohon ampun, lalu Allah tetap mengampunkan kerana dia yakin mempunyai Tuhan yang boleh menghukum dan mengampunkan dosanya.
“Setiap kali dia bertaubat dengan jujur dan penuh penyesalan, Allah ampunkan. Jangan sekali-kali kita memperolokkan taubat, tetapi jangan juga berputus asa untuk kembali,” katanya.
Umat Islam juga diingatkan agar tidak menangguhkan taubat atas alasan usia muda atau merancang untuk berubah apabila tua kelak.
“Jangan berjudi dengan Tuhan. Kita tak tahu sama ada sempat tua atau tidak. Menangguhkan taubat atas nama ‘hidup cuma sekali’ atau ‘nanti tua aku berubah’ itu pertaruhan yang sangat bahaya,” tegasnya.
Sesungguhnya, pintu taubat sentiasa terbuka dan Allah berjanji menggantikan dosa dengan pahala bagi mereka yang benar-benar beriman, beramal soleh serta bertaubat dengan taubat nasuha.
“Allah boleh ubah dosa yang banyak itu menjadi pahala. Itu janji Allah dalam al-Quran. Maka jangan putus asa. Laksanakan yang wajib, tinggalkan yang haram dan jika terjatuh, bangun semula dan mohon ampun.
“Taubat bukan ‘content’, bukan untuk dilihat orang. Ia hubungan kita dengan Allah. Selagi kita hidup, selagi itu ruang untuk kembali terbuka,” tambah Dr Abu Hafiz.








