Pandangan pasti terpana menyaksikan kubah hijau tersergam di tengah-tengah keredupan landskap, dikelilingi deretan kedai dan perumahan yang sentiasa hidup dengan pergerakan masyarakat.
Dari pintu utama ke ruang solat yang luas, suasananya bersih dan teratur manakala aliran pengunjung tidak putus-putus mencerminkan masjid itu bukan sekadar rumah ibadat semata-mata.
Itulah Masjid Al-Hasanah yang terletak di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi. Masjid Terbaik Negeri Selangor 2024, mengulangi kejayaan sama pada 2014.
Sejak dulu, rumah ibadat itu pusat ekonomi ummah yang limpahan ekonominya disalur kembali, dari umat Islam setempat hingga ke luar negara.
Berkat keampuhan sistem kewangan hingga diperakui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), ditambah kewibawaan pentadbiran, masjid itu yang pertama di Selangor menerima pensijilan ISO.
"Masjid tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada tabung derma semata-mata, sebaliknya perlu membina ekosistem ekonomi patuh syariah dan telus. Kalau harap tabung sahaja, tidak cukup.
"Perlu ada strategi jana pendapatan, perlu kuat dari sudut media, kempen digital dan bina ekonomi di persekitaran masjid," kata Nazirnya Mohd Safian Abdul Rahman kepada Media Selangor.

Inisiatif yang dijalankan antaranya koperasi yang menguruskan perniagaan di dalam masjid iaitu kedai gunting rambut, pusat cucian kereta, sewaan lot niaga, kutipan barangan, minyak terpakai, stesen pengecas kereta elektrik (EV) dan papan iklan digital.
"Ekonomi masjid perlu kuat supaya kita boleh bantu masyarakat. Apabila ekonomi kukuh, masjid mampu biayai program dakwah, kebajikan dan pendidikan tanpa bebankan jemaah," katanya lagi.
Hasil itu disalur semula kepada pusat ibadat, anak yatim, golongan berpendapatan rendah (B40) selain program dakwah dan kebajikan di luar kariah termasuk di luar negara. Lima daripada 18 surau bawah kariah masjid itu pula menerima bantuan bulanan RM500.
"Bukan bantu penduduk Bangi sahaja, kita bantu di luar kariah, di negeri lain dan luar negara dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) - ibadah korban, pengislaman beratus individu dan penyampaian sumbangan," katanya.
Mereka juga membiayai kelas pengajian merangkumi kuliah harian, kelas tafaqquh fiddin serta pelbagai kelas lain untuk kanak-kanak secara percuma.
Pengurusan masjid juga menanggung elaun hampir 26 guru selain menguruskan program pratahfiz, tahfiz dan Kelas Agama dan Fardu Ain.
Masjid itu juga mengadakan banyak program kemasyarakatan merentas usia, dari kanak-kanak hingga warga emas. Antaranya festival makanan, Bangi Berselawat, kursus haji, program kesihatan, karnival senam bersama warga emas dan acara sukan rakyat.

Bina jaringan strategik
"Hendak jadikan masjid bukan sekadar pusat ibadah, kena buat pelbagai program termasuk bukan bersifat keagamaan kerana apabila pengunjung datang, sekali gus mereka nampak masjid," kata Mohd Safian.
Demi menggalakkan penglibatan generasi muda terus subur, masjid turut menubuhkan jawatankuasa belia yang diberi peranan untuk merancang dan menggerakkan kegiatan kelompok anak muda.
Usaha mendekati masyarakat juga diperluas melalui program siri jelajah seperti Jom Turun Ngaji bagi mengajak masyarakat setempat kembali mendekati masjid dan pengajian al-Quran.
Untuk memastikan keberkesanan program, mereka membina jaringan strategik dengan pelbagai pihak termasuk peniaga, hospital, hotel, badan berseragam dan NGO.
"Masjid tak boleh bergerak sendirian. Bila ada rakan strategik, program jadi lebih besar dan manfaatnya sampai kepada lebih ramai," kata Mohd Safian lagi.
Bagi meningkatkan mutu pentadbiran, latihan dan program motivasi kerap diadakan termasuk pendedahan kemahiran berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan pengurusan media sosial, sejajar keperluan semasa.
"Kemahiran penting dalam pengurusan di samping sentiasa terbuka mengambil inspirasi daripada masjid-masjid lain untuk penambahbaikan,” katanya.

Aspek kebersihan dan kemudahan juga diberi perhatian berat. Dari tandas berkonsep kering mengambil inspirasi masjid di Singapura, penyelenggaraan berkala, landskap hijau hinggalah kemudahan mesra keluarga.
Tidak ketingalan bidang teknologi. Media sosial dirancakkan bagi menggamit pengunjung terutama anak muda. Pekerja diupah bagi membuat kandungan digital berkaitan program secara konsisten dan profesional.
Sebagai pemenang anugerah masjid terbaik negeri sebanyak dua kali, mereka mengakui wujud cabaran bagi mengekal pencapaian tetapi mereka bersedia membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa.
"Alhamdulillah, anugerah diperoleh kerana berjaya melaksanakan fungsi sebagai pusat ibadah, ilmu Islam, dakwah dan keprihatinan setempat. Ini hasil kerjasama jawatankuasa masjid, kakitangan dan jemaah," katanya.
Menegaskan kunci kejayaan terletak kepada keikhlasan, budaya kerja berpasukan dan kesediaan untuk belajar, Mohd Safian menyatakan pihaknya dalam proses menjadikan masjid itu sebagai masjid pelancongan.
Selain itu, pengurusan masjid merancang untuk memperkenal sistem pintar (e-pintar) bagi pengurusan tenaga, memperluas inisiatif hijau dan memperkukuh perpustakaan digital.
Selaku penerima anugerah masjid terbaik peringkat negeri bagi tahun 2024, Masjid Al-Hasanah akan bertanding pada peringkat kebangsaan yang dijadual berlangsung tahun ini.









