Kerajaan utamakan keselamatan rakyat Malaysia susulan konflik di Timur Tengah

4 Mac 2026, 9:47 AM
Kerajaan utamakan keselamatan rakyat Malaysia susulan konflik di Timur Tengah
Kerajaan utamakan keselamatan rakyat Malaysia susulan konflik di Timur Tengah

PUTRAJAYA, 4 MAC: Keselamatan dan kebajikan semua rakyat Malaysia di Timur Tengah yang sedang bergolak susulan perang Iran dengan Israel-Amerika Syarikat (AS), menjadi keutamaan kerajaan ketika ini, kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, berkata Kementerian Luar akan mengeluarkan kenyataan berhubung tindakan yang akan diambil susulan perkembangan situasi di Iran dari semasa ke semasa.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan oleh Wisma Putra dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, termasuk beberapa maklumat dan maklum balas terkini berkaitan rakyat Malaysia yang berada di negara Timur Tengah.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berucap sempena majlis pertukaran dokumen memorandum persefahaman Pembangunan Bandar Pintar Negeri Selangor antara Kerajaan Negeri Selangor dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Hotel Concorde, Shah Alam pada 20 Januari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Yang menjadi keutamaan untuk pihak kerajaan pada waktu ini adalah untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia sentiasa terjamin sama ada mereka yang mungkin terkandas akibat ketiadaan penerbangan pulang ataupun yang bermastautin di negara yang terkesan dengan apa yang sedang berlaku di Iran akibat serangan rejim Zionis Israel,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini.

Pada awal pagi 28 Februari lalu, Israel dan AS melancarkan serangan udara terhadap sasaran di Iran.

Tehran kemudian bertindak balas menyasarkan pangkalan tentera dan kemudahan logistik AS di beberapa negara Arab, menyebabkan sekatan ruang udara meluas di seluruh rantau itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.