SHAH ALAM, 4 MAC: Pengawal keselamatan dipenjara 21 tahun dan dikenakan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini selepas mengaku bersalah atas 13 pertuduhan membabitkan pelbagai kesalahan seksual terhadap anak perempuannya berusia enam tahun.
Hakim Madihah Zainol dan Hakim Nor Aziati Jaafar menjatuhkan hukuman itu di dua kamar berasingan selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh berusia 43 tahun serta meneliti fakta kes yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Di hadapan Hakim Madihah, tertuduh dihukum penjara 12 tahun bermula dari tarikh tangkapan pada 18 Februari lalu dan 14 sebatan. Sementara itu, di hadapan Hakim Nor Aziati, dia dijatuhi hukuman penjara 21 tahun dari tarikh sama serta 10 sebatan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak, menjadikan jumlah keseluruhan 21 tahun penjara dan 24 sebatan.
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan dan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman.
Mengikut pertuduhan, kesalahan dilakukan di sebuah rumah setinggan di Kampung Kempas Baru, antara jam 11.35 malam, 22 Januari hingga pagi 17 Februari lalu.
Empat pertuduhan membabitkan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak dikemukakan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Tertuduh turut berdepan empat pertuduhan amang seksual bukan fizikal mengikut Seksyen 15(c) akta sama, selain dua pertuduhan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Dia juga didakwa atas dua pertuduhan menghasilkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak mengikut Seksyen 5 akta sama serta satu pertuduhan merogol mangsa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, lapor Berita Harian.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Manushri dan Nur Farah Wahida Shahudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh memohon hukuman diringankan dengan alasan perlu menanggung enam anak dan isteri yang tidak bekerja serta menghidap kanser.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal mengambil kira kesalahan serius dilakukan serta kesan berpanjangan terhadap mangsa.








