SHAH ALAM, 4 MAC: Kementerian Luar menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya perwakilan diplomatik Malaysia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) gagal membantu seorang rakyat Malaysia yang terkandas di Dubai.
Dalam kenyataan semalam, kementerian itu menegaskan perwakilan Malaysia sentiasa bekerja sepanjang masa bagi membantu rakyat Malaysia yang terjejas, dengan keutamaan diberikan kepada kes mendesak serta golongan rentan.
“Kami amat memahami kebimbangan dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia susulan penutupan ruang udara secara tiba-tiba dan pembatalan penerbangan, khususnya di hab transit global utama seperti Dubai,” menurut kenyataan itu menerusi Facebook.
Sejak krisis bermula, Kedutaan Besar Malaysia di Abu Dhabi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai beroperasi tanpa henti termasuk pada hujung minggu.
Kementerian memaklumkan semua talian telefon rasmi, talian kecemasan pegawai bertugas serta saluran e-mel kekal aktif sepenuhnya.
Dalam situasi jumlah panggilan yang tinggi, pegawai turut berusaha menghubungi semula panggilan tidak terjawab dan membuat susulan secara terus termasuk melalui aplikasi pesanan ringkas.
Kementerian turut memberi jaminan komitmen berterusan untuk memastikan kebajikan serta keselamatan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa menjadi keutamaan.








