SHAH ALAM, 4 MAC: Program MYsaveFood anjuran Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berjaya mengumpulkan sebanyak 301.4 kilogram (kg) makanan dan minuman di lima lokasi Bazar Ramadan.
Menurut MPAJ, kutipan tertinggi direkodkan di Bazar Ramadan Bandar Baru Ampang sebanyak 171.4kg, diikuti Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah (53kg), Taman Sri Bayu (47kg) dan Taman Melawati (30kg).
"Daripada jumlah keseluruhan kutipan pada 3 Mac, sebanyak 98.4kg membabitkan makanan manakala 203kg lagi adalah minuman.
"Inisiatif ini bagi mengurangkan pembaziran dan mengurangkan pembuangan sisa berkenaan ke tapak pelupusan,” menurut kenyataan itu.
MPAJ memaklumkan, lebihan makanan dan minuman yang masih elok akan diagihkan ke Masjid Al-Azim, Pandan Indah; Masjid Bandar Baru Ampang; Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati dan Masjid Ubudiah, Tasik Tambahan.
Program MYsaveFood dijalankan sejak 23 Februari hingga 11 Mac, bermula pada jam 5 petang, sebagai usaha berterusan bagi mengurangkan pembaziran makanan sepanjang Ramadan.








