SHAH ALAM, 3 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengambil tindakan tegas dengan menunda dan menampal notis amaran terhadap kenderaan buruk yang ditinggalkan di beberapa lokasi sekitar Puchong dan Seri Kembangan.
Dalam kenyataan di Facebook, MBSJ memaklumkan operasi itu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan aspek keselamatan, kebersihan dan kesejahteraan komuniti tidak terjejas.
“Kesemua kenderaan terlibat telah dipindahkan ke Depoh Sri Puchong dan Depoh Puchong Utama 7 selaras dengan peruntukan undang-undang kecil yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
Pihak berkuasa tempatan berkenaan turut memberi peringatan kepada pemilik supaya tidak meninggalkan kenderaan rosak atau tidak lagi digunakan di kawasan awam kerana tindakan penguatkuasaan akan diambil tanpa kompromi.
Orang ramai boleh menyalurkan aduan berkaitan pelanggaran peraturan melalui laman sesawang www.mbsj.gov.my/ms/saluran-aduan
atau WhatsApp Jabatan Penguatkuasaan MBSJ di talian 019-220 7823.







