ISTANBUL, 3 MAC: Operasi risikan berteknologi tinggi yang dijalankan selama bertahun-tahun didakwa menjadi antara faktor utama kejayaan serangan udara Israel yang mengorbankan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, Sabtu lalu.
Menurut dua sumber yang arif mengenai perkara itu, hampir semua kamera trafik di Tehran didakwa telah digodam selama beberapa tahun, dengan imej dirakam disulitkan sebelum dihantar ke pusat data di Tel Aviv dan selatan Israel.
Salah satu kamera di kawasan berhampiran Jalan Pasteur, lokasi pejabat rasmi Khamenei dilaporkan memberikan sudut rakaman strategik yang membolehkan pihak risikan mengenal pasti lokasi parkir kenderaan peribadi pengawal keselamatan dan pemandu pegawai kanan Iran.
Maklumat tersebut membantu membina profil terperinci anggota keselamatan termasuk alamat, waktu bertugas, laluan perjalanan ke tempat kerja serta individu yang kebiasaannya dilindungi dan diiringi mereka.
Selain penggodaman kamera, Israel juga didakwa berjaya mengganggu operasi beberapa menara telekomunikasi berhampiran Jalan Pasteur.

Gangguan itu menyebabkan panggilan telefon kelihatan seolah-olah talian sibuk sekali gus menghalang pasukan keselamatan Khamenei daripada menerima sebarang amaran awal.
Sumber perisikan Israel mendakwa keupayaan itu adalah sebahagian daripada kempen pengumpulan maklumat intensif melibatkan unit risikan isyarat Unit 8200, agensi perisikan luar Mossad serta analisis data ketenteraan yang diproses secara harian.
Menurut sumber terbabit, Israel turut menggunakan kaedah matematik dikenali sebagai analisis rangkaian sosial untuk meneliti berbilion titik data bagi mengenal pasti pusat pengaruh dan sasaran baharu yang berpotensi dipantau atau diserang.
Seorang pegawai risikan Israel dilaporkan berkata, “Kami mengenali Tehran seperti kami mengenali Jerusalem. Apabila anda benar-benar mengenali sesuatu tempat, anda dapat mengesan walau satu perkara kecil yang tidak kena.” - Agensi







