KUANTAN, 3 MAC: Penuntut sebuah universiti di sini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencemar al-Quran dan membuat hantaran komunikasi jelik melampau.
Terdahulu, tertuduh tiba di Kompleks Mahkamah Kuantan, di sini, kira-kira jam 9 pagi di bawah kawalan keselamatan ketat.
Memakai baju dan seluar berwarna merah, tertuduh yang tempoh remannya berakhir hari ini diiringi beberapa pegawai polis ke Mahkamah Sesyen di tingkat satu.
Kehadirannya turut menarik perhatian orang ramai di kompleks mahkamah berkenaan.
Tindakan tertuduh yang tular di platform media sosial Threads, didakwa atas kesalahan menghina Islam dengan memijak al-Quran serta penggunaan tidak wajar kemudahan Internet.
Tertuduh yang juga penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan pada 25 Februari lalu.
Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam memaklumkan pelajar terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan objek yang dianggap suci, iaitu al-Quran, dengan memijaknya, yang perbuatan tersebut dilakukan dengan pengetahuan bahawa ia suatu penghinaan terhadap Islam.
Seksyen 295 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Penuntut itu juga akan didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat dan memulakan suatu hantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Threads.
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Semalam, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata 82 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung isu berkenaan dan hasil siasatan mendapati terdapat keterangan mencukupi untuk mencadangkan pertuduhan terhadap individu terbabit.
Kes berkenaan mendapat perhatian ramai dan mengundang pelbagai reaksi berikutan sensitiviti isu yang menyentuh kesucian agama dan keharmonian masyarakat.








