RUU pindaan had tempoh jawatan PM gagal peroleh majoriti dua pertiga

2 Mac 2026, 1:19 PM
RUU pindaan had tempoh jawatan PM gagal peroleh majoriti dua pertiga

SHAH ALAM, 2 MAC: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun gagal memperoleh sokongan dua pertiga majoriti Ahli Dewan Rakyat hari ini.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan keputusan itu selepas undian dijalankan sejurus tamat sesi perbahasan melibatkan 41 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.

“Yang tidak hadir 32, yang tidak mengundi 44, yang bersetuju 146. Oleh yang demikian, jadi keputusannya adalah kurang daripada dua pertiga majoriti yang bersetuju,” katanya ketika mengumumkan keputusan undian di Dewan Rakyat.

Keputusan menunjukkan 146 Ahli Parlimen menyokong RUU tersebut, manakala 32 tidak hadir dan 44 tidak mengundi.

Untuk diluluskan, pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sekurang-kurangnya 148 sokongan Ahli Parlimen.

RUU berkenaan dibentangkan bagi bacaan kali pertama minggu lalu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Bacaan kali kedua pula dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sebelum dibahaskan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Ketika membentangkan RUU itu, Anwar berkata cadangan pindaan tersebut tidak mengubah asas demokrasi berparlimen dan tidak menjejaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Apa reaksi anda?