KAHERAH, 2 MAC: Dua dron menyerang sebuah pelabuhan di Oman sehingga menyebabkan seorang pekerja cedera , menurut agensi berita rasmi ONA, pada Ahad.
Insiden itu menandakan serangan pertama seumpamanya di negara Teluk itu sejak tercetusnya konflik ketenteraan antara Israel, Amerika Syarikat (AS) dan Iran, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Dron berkenaan menyasarkan Pelabuhan Komersial Duqm, dengan satu daripadanya melanggar kemudahan penginapan pekerja mudah alih dan mencederakan seorang pekerja asing, lapor agensi itu yang memetik sumber keselamatan.
Serpihan daripada dron kedua pula jatuh di kawasan berhampiran tangki bahan api, namun tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan. Laporan itu bagaimanapun tidak menyatakan pihak yang mungkin bertanggungjawab di sebalik serangan berkenaan.
Agensi itu menyatakan bahawa Oman mengecam sekeras-kerasnya serangan itu dan akan mengambil semua langkah perlu bagi melindungi keselamatan negara serta penduduknya.
Oman sebelum ini bertindak sebagai pengantara dalam rundingan tidak langsung yang diadakan antara AS dan Iran pada awal minggu ini.
Oman merupakan anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang diterajui Arab Saudi.
Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Kuwait yang merupakan anggota kumpulan sekutu AS, turut melaporkan serangan Iran ke atas wilayah mereka selepas AS dan Israel melancarkan kempen pengeboman terhadap Iran pada Sabtu.








