Gerhana Bulan: Umat Islam disaran tunai solat sunat walau tidak kelihatan

2 Mac 2026, 12:00 AM
Gerhana Bulan: Umat Islam disaran tunai solat sunat walau tidak kelihatan
Gerhana Bulan: Umat Islam disaran tunai solat sunat walau tidak kelihatan
Gerhana Bulan: Umat Islam disaran tunai solat sunat walau tidak kelihatan
Gerhana Bulan: Umat Islam disaran tunai solat sunat walau tidak kelihatan

SHAH ALAM, 2 MAC: Umat Islam di Selangor disunatkan menunaikan Solat Sunat Gerhana Bulan (Khusuf) meskipun fenomena itu tidak kelihatan akibat cuaca mendung atau hujan, selagi mana pengiraan falak mengesahkan ia berlaku.

Penolong Mufti Kanan Bahagian Falak Negeri Selangor, Ustaz Mohd Fahmi Soen berkata hukum pelaksanaan solat berkenaan adalah berdasarkan keyakinan berlakunya fenomena gerhana melalui pengiraan astronomi yang tepat, bukan semata-mata penglihatan mata kasar.

“Mengikut pendapat muktamad dalam mazhab Syafie, jika pengiraan falak menyatakan gerhana berlaku, maka sunat menunaikan solat sunat gerhana meskipun tidak dapat disaksikan kerana terlindung awan atau faktor cuaca. Fenomena itu tetap berlaku di langit walaupun tidak kelihatan,” katanya.

Beliau berkata, hebahan rasmi mengenai fenomena Gerhana Bulan Penuh akan dimaklumkan kepada seluruh masjid dan surau di Selangor termasuk galakan untuk melaksanakan Solat Sunat Gerhana secara berjemaah serta bacaan khutbah khas gerhana.

Menurutnya, Solat Sunat Gerhana Bulan merupakan sunat muakkad iaitu sangat dituntut dan lebih afdal didirikan secara berjemaah di masjid atau surau kerana ia menghimpunkan umat Islam untuk berzikir, berdoa serta mendengar khutbah selepas solat.

"Bagaimanapun, solat ini juga boleh dilakukan secara bersendirian di rumah khususnya bagi wanita atau mereka yang mempunyai kekangan untuk hadir ke masjid. Jika dilakukan sendirian, ia tetap sah tetapi tidak disertakan khutbah dan tidak mendapat kelebihan pahala berjemaah," jelasnya.

Waktu Solat Sunat Gerhana Bulan

Mengulas waktu pelaksanaan, beliau berkata Solat Sunat Gerhana hanya sah dilakukan ketika fenomena gerhana sedang berlaku.

"Sekiranya gerhana bermula sebelum waktu Isyak, solat boleh dilaksanakan selepas Maghrib. Namun jika bertembung dengan waktu Isyak, maka Solat Isyak hendaklah didahulukan sebelum menunaikan Solat Sunat Khusuf.

"Bagi situasi hampir Subuh, solat masih boleh dilakukan selagi gerhana berlangsung dan bulan berada di atas ufuk mengikut pengiraan falak. Sekiranya telah masuk waktu Subuh, Solat Subuh perlu didahulukan sebelum Solat Sunat Khusuf.

"Solat tersebut tamat sebaik sahaja bulan kembali terang sepenuhnya menandakan berakhirnya fenomena gerhana," katanya.

Fenomena Gerhana Bulan Penuh dijangka berlaku esok (3 Mac) bersamaan 13 Ramadan 1447H.

Berdasarkan perincian waktu tempatan, fasa Gerhana Penuh akan bermula pada jam 7.04 malam, namun bulan masih belum terbit di ufuk ketika itu.

Kemuncak gerhana dijangka berlaku pada jam 7.33 malam sebelum tamat Gerhana Penuh pada jam 8.02 malam. Keseluruhan fenomena Gerhana Separa pula dijangka berakhir pada jam 9.17 malam.

Sehubungan itu, umat Islam disarankan menunaikan Solat Sunat Gerhana (Khusuf) dalam tempoh 7.23 malam, iaitu selepas Maghrib, hingga 9.17 malam selagi fenomena gerhana masih berlangsung.

Pelaksanaan solat sunat tersebut merupakan tanda keinsafan dan penghayatan terhadap kebesaran Allah SWT, lebih-lebih lagi dalam keberkatan bulan Ramadan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.