Lelaki tular berpaut pada kereta bekas isteri ditahan polis

1 Mac 2026, 8:43 AM
Lelaki tular berpaut pada kereta bekas isteri ditahan polis

JOHOR BAHRU, 1 MAC: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian tular yang memaparkan dirinya berpaut pada sebuah kereta yang sedang bergerak di atas jalan raya di Bandar Seri Alam, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata lelaki berumur 30 tahun itu yang positif dadah jenis ketamin ditahan di Jalan Persisiran Seri Alam, di sini pada 2 pagi tadi.

Menurut beliau, kejadian yang tular di media sosial itu berlaku kira-kira pukul 3.30 petang pada 28 Februari lepas dan dipercayai berpunca daripada pertelingkahan dengan bekas isterinya.

“Pertelingkahan dipercayai bermula di sebuah pasar raya di Bandar Seri Alam sebelum lelaki itu bertindak memanjat atas bonet dan berpaut pada bahagian hadapan kereta yang dipandu wanita berkenaan, lalu terjatuh," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, wanita itu memandu kenderaan secara perlahan sejauh dua kilometer sebelum ditahan sekumpulan individu dipercayai rakan kepada lelaki terbabit, lalu bertindak memecahkan cermin kereta dan memeras ugut serta merampas barang miliknya.

Jelasnya, lelaki yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau itu direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.