RABAT, 1 MAC: Presiden Iran Masoud Pezeshkian, Ketua Kehakiman dan seorang ahli Majlis Penjaga Perlembagaan akan memimpin negara secara sementara selepas kematian pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Menurut Agensi Berita Rusia (TASS), yang memetik Agensi Berita Republik Islam (IRNA), mereka akan memimpin negara sepanjang tempoh peralihan kuasa.
Sebelum ini, IRNA melaporkan bahawa Khamenei telah terbunuh susulan serangan oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Beliau telah syahid selepas serangan pada pagi Sabtu, menurut laporan itu.
Seorang pegawai kanan Israel memaklumkan kepada Reuters bahawa jenazah pemimpin Iran itu ditemui selepas serangan.
Sementara itu, anak perempuan, cucu, menantu perempuan dan menantu lelaki Khamenei turut terbunuh dalam serangan tersebut.
Tentera Israel mengesahkan lima lagi pegawai kanan tentera turut maut, termasuk Ali Shamkhani, penasihat kepada pemimpin tertinggi Iran.
Dalam perkembangan berkaitan, Iran turut mengumumkan tempoh 40 hari berkabung kebangsaan susulan kematian pemimpin tertinggi tersebut.
Pengumuman itu dibuat selepas AS dan Israel menyatakan bahawa Khamenei terbunuh dalam serangan bersama yang dilancarkan ke atas Iran.








