30 kanak-kanak OKU diraikan dalam program Irsyad Iktikaf Ramadan

1 Mac 2026, 8:21 AM
30 kanak-kanak OKU diraikan dalam program Irsyad Iktikaf Ramadan
30 kanak-kanak OKU diraikan dalam program Irsyad Iktikaf Ramadan
30 kanak-kanak OKU diraikan dalam program Irsyad Iktikaf Ramadan

BANGI, 1 MAC: Seramai 30 kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) diraikan dalam Program Irsyad Iktikaf Ramadan Santunan YADIM yang berlangsung di Masjid Al-Hasanah, di sini dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Nazir masjid, Mohd Safian Abdul Rahman berkata sumbangan RM200 serta pek Ramadan diberikan kepada setiap keluarga yang diraikan.

"Masjid menyumbang RM100 dan Persatuan Malaysian Advocates For Cerebral Palsy juga RM100. Jadi satu keluarga terima RM200, selain kotak sempena Ramadan," katanya.

Beliau turut memaklumkan majlis berbuka puasa di masjid berkenaan meriah dengan kunjungan lebih 2,000 pengunjung setiap hari sepanjang Ramadan.

"Menu di sini sangat menarik. Hidangan disediakan lapan perkhidmatan katering selain hasil sumbangan restoran kawasan sekitar masjid," katanya.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Malaysian Advocates For Cerebral Palsy, Wira Sudepja Rabu berkata pihaknya bersyukur apabila anak-anak syurga daripada persatuan mereka diraikan dalam program berkenaan.

"Walaupun permohonan dibuat dalam masa singkat, pihak masjid dan YADIM masih menerima kami untuk diraikan sebagai golongan istimewa. Kami sangat menghargai layanan dan bantuan yang diberikan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jababatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli yang merasmikan program itu berkata penganjuran program berkenaan membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali ibadah iktikaf serta menggalakkan penyertaan golongan muda di masjid.

"Tidak semua biasa dengan ibadah ini, tetapi melalui program sebegini, ia membuka mata masyarakat untuk terlibat.

"Anak-anak kecil, remaja dan belia turut terlibat dalam program iktikaf ini, selari dengan pelancaran untuk rakan muda dan rakan masjid yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini," katanya.

Pada masa sama, katanya program bermalam di masjid peringkat kebangsaan ini turut dijalankan di negeri lain.

Apa reaksi anda?