Iran nafi dakwaan Trump, tegaskan Khamenei 'selamat dan sihat'

1 Mac 2026, 12:36 AM
Iran nafi dakwaan Trump, tegaskan Khamenei 'selamat dan sihat'

Kerajaan Iran menafikan dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei telah terbunuh.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei menegaskan Khamenei berada dalam keadaan “selamat dan sihat”.

Menurut beliau, sistem pentadbiran kerajaan Iran juga masih berfungsi seperti biasa.

Penafian itu dibuat ketika ketegangan memuncak susulan tindakan ketenteraan besar-besaran dilancarkan AS dan Israel ke atas Iran.

Terdahulu, Trump mendakwa Khamenei telah meninggal dunia dan menyifatkan kematian pemimpin tertinggi Iran itu sebagai satu bentuk keadilan.

“Ini bukan sahaja keadilan untuk rakyat Iran, tetapi juga untuk semua rakyat Amerika,” katanya menerusi hantaran di platform Truth Social.

Trump turut mendakwa Khamenei gagal mengelak daripada dikesan sistem risikan dan penjejakan canggih AS.

“Beliau tidak mampu mengelak sistem risikan dan penjejakan kami yang sangat canggih dan, dengan kerjasama rapat bersama Israel, tiada apa yang beliau atau pemimpin lain yang terbunuh bersamanya mampu lakukan,” katanya.

Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai peluang terbesar buat rakyat Iran untuk “mengambil semula negara mereka”.

Trump turut mendakwa Washington menerima maklumat bahawa ramai dalam kalangan Pengawal Revolusi Iran, tentera serta pasukan keselamatan dan polis negara itu “tidak lagi mahu berperang”, malah memberi bayangan bersedia menawarkan “imuniti” kepada mereka.

Dalam masa sama, beliau menegaskan serangan terhadap Iran akan diteruskan tanpa henti sepanjang minggu ini atau selama mana perlu bagi mencapai objektif yang ditetapkan. - Agensi