Pada 28 Februari 2026, beberapa bandar di Iran digegarkan letupan selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan bersama.
Peluru berpandu menjejaskan beberapa kawasan di Tehran termasuk bahagian utara, barat serta kawasan lain dan ratusan orang termasuk kanak-kanak cedera serta terbunuh akibat serangan berkenaan.
Susulan itu, Presiden Iran Masoud Pezeshkian mengancam perang habis-habisan selepas pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei disahkan terbunuh dalam serangan yang dilancarkan di kompleks pejabat rasminya di Tehran.
Serangan itu berlaku selepas AS meningkatkan kehadiran ketenteraannya di rantau berkenaan bagi memberi tekanan kepada Tehran supaya mengurangkan program nuklearnya serta susulan tindakan keras di Iran terhadap protes besar-besaran.
Presiden AS Donald Trump sebelum ini berulang kali mengancam tindakan ketenteraan sekiranya penyelesaian menerusi rundingan berhubung isu nuklear gagal dicapai.
Berikut apa yang kita ketahui setakat jam 3 petang.
Apa yang berlaku?
Pada 28 Februari 2026, Israel mengumumkan telah melancarkan serangan awal ke atas Iran yang dianggap sebagai tindakan pre-emptif (bertindak terlebih dulu) terhadap apa yang didakwa sebagai ancaman keselamatan, khususnya program nuklear dan keupayaan ketenteraan Iran.
Serangan ini dilaporkan berlaku secara bersama atau selari dengan tindakan ketenteraan oleh Amerika Syarikat, termasuk penggunaan aset tentera Amerika Syarikat dalam operasi tersebut menyebabkan letupan di Tehran dan beberapa bandar lain.
Iran pula memberi amaran keras bahawa serangan ini akan membawa kepada tindakan balas yang ‘menghancurkan’ serta ancaman terhadap pangkalan AS di kawasan sekitar dan Israel.
Apa yang dikatakan Trump? Apa yang disasarkan?
Presiden AS Donald Trump berkata kempen ketenteraan negara itu bertujuan “memusnahkan peluru berpandu Iran dan melumpuhkan sepenuhnya industri peluru berpandu berkenaan”, lapor Al Jazeera.
Beliau turut menyatakan bahawa sasaran operasi termasuk kekuatan laut Iran.
Antara objektif AS ialah memusnahkan keupayaan peluru berpandu Iran, menyasarkan angkatan laut negara itu, mengganggu kumpulan bersenjata yang disokong Tehran di rantau berkenaan serta memastikan Iran tidak memperoleh senjata nuklear.
Trump turut menggesa anggota tentera Iran supaya meletakkan senjata dengan menawarkan pengampunan, namun memberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka berdepan “kematian yang pasti”.
Di manakah pemimpin Iran?
Beberapa media kerajaan Iran pada Ahad mengesahkan kematian pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Penyiar rasmi negara, IRIB, melaporkan bahawa “Pemimpin Tertinggi Iran telah syahid”.
Serangan ke atas Khamenei dilakukan ketika beliau sedang melakukan tugas rasmi di pejabat rasminya di Tehran.
BBC melaporkan, imej satelit menunjukkan kerosakan ketara pada beberapa bahagian kompleks tersebut, sekali gus mengesahkan impak serangan di lokasi berkenaan.
Seorang pegawai kanan Israel memaklumkan kepada Reuters bahawa jenazah pemimpin Iran itu ditemui selepas serangan.
Sementara itu, anak perempuan, cucu, menantu perempuan dan menantu lelaki Khamenei turut terbunuh dalam serangan tersebut.
Tentera Israel mengesahkan lima lagi pegawai kanan tentera turut maut, termasuk Ali Shamkhani, penasihat kepada pemimpin tertinggi Iran.
Sementara itu, agensi berita rasmi Iran, IRNA memetik sumber di pejabat presiden sebagai memaklumkan bahawa Presiden Masoud Pezeshkian berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kepimpinan sementara
Presiden Iran Masoud Pezeshkian, Ketua Kehakiman dan seorang ahli Majlis Penjaga Perlembagaan akan memimpin negara secara sementara selepas kematian Khamenei.
Menurut Agensi Berita Rusia (TASS), yang memetik Agensi Berita Republik Islam (IRNA), mereka akan memimpin negara sepanjang tempoh peralihan kuasa.
Iran lancar serangan balas
AS dan Israel melancarkan operasi ketenteraan bersama terhadap Iran yang dikenali sebagai Operation Epic Fury. Operasi tersebut disifatkan sebagai sebahagian usaha mengekang ancaman yang didakwa berpunca daripada program senjata dan keupayaan strategik Tehran.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan balas menggunakan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta beberapa pangkalan tentera AS di rantau Teluk, sekali gus meningkatkan risiko konflik yang lebih meluas di Asia Barat, lapor The Guardian.
Serangan berbalas antara kedua-dua pihak menandakan ketegangan yang semakin memuncak dengan penglibatan beberapa lokasi strategik di rantau berkenaan.
Adakah konflik ini baru berlaku?
Konflik ini bukan sesuatu yang tiba-tiba, ia berlatar belakang lama. Ketegangan antara Israel dan Iran berterusan selama bertahun-tahun akibat pertikaian terhadap program nuklear Iran, sokongan Iran kepada kumpulan proksi di serata Asia Barat dan serangan balas berulang.

Peristiwa penting sebelum ini
Sebelum ini telah berlaku beberapa insiden ketenteraan besar meliputi:
2019 - Israel melancarkan serangan di Syria, Lubnan dan Iraq bagi menyekat laluan bekalan senjata Iran.
2022 - Pegawai Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dan dua saintis Iran terbunuh dalam serangan yang didakwa didalangi Israel.
2023 - Ketegangan memuncak pada apabila proksi Iran menyerang Israel susulan perang Gaza, dibalas dengan serangan yang mengorbankan pegawai kanan Iran di Syria.
2024 - Serangan Israel ke atas konsulat Iran di Damsyik mencetuskan tindak balas ratusan dron dan misil, diikuti siri serangan di Lubnan termasuk kematian pemimpin Hizbullah serta balas-membalas misil antara kedua-dua negara.
2025 - Konflik terus meruncing apabila Netanyahu mendedahkan rancangan menyerang kemudahan nuklear Iran kepada Presiden AS, Donald Trump, yang menegaskan pendekatan diplomasi namun memberi amaran tidak akan membenarkan Tehran memiliki senjata nuklear.
Jun 2025 - Israel melancarkan serangan udara besar terhadap kemudahan nuklear Iran; Iran membalas dengan ratusan peluru berpandu dan dron.
2026 – Rundingan nuklear antara AS dan Iran gagal mencapai persetujuan, sebelum serangan akhir ini.
Impak yang dijangka terhadap ekonomi global
-Harga minyak dunia meningkat kerana kebimbangan terhadap gangguan di Selat Hormuz iaitu laluan penting 20 peratus bekalan minyak global
-Malaysia turut teliti kesan konflik AS, Israel dan Iran terhadap pasaran tenaga global serta implikasinya
-Tumpuan kepada potensi gangguan pengeluaran minyak dan gas kerana peranan penting Iran dalam pasaran tenaga
-Malaysia akan tingkatkan ketahanan ekonomi domestik dan teliti kesan rantaian bagi lindungi kedudukan ekonomi negara
Sekatan ruang udara
-Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengeluarkan nasihat perjalanan untuk penumpang bagi perjalanan ke, dari atau transit menerusi beberapa lokasi Timur Tengah susulan perkembangan ketegangan di rantau itu.
-Ruang udara di banyak negara di Timur Tengah kini ditutup atau sangat terhad
-Iran, Iraq, Israel menutup ruang udara mereka sepenuhnya atau sebahagian. Qatar, Bahrain, Kuwait serta UAE turut melaksanakan larangan atau sekatan ke atas trafik udara sebagai langkah keselamatan.
-Akibatnya syarikat penerbangan di banyak negara termasuk Malaysia mengumumkan pembatalan, penangguhan atau perubahan operasi kerana risiko ruang udara dan keselamatan ini termasuk Malaysia Airlines.
-Malaysia Airlines membatalkan beberapa penerbangan antara antara Kuala Lumpur dan Doha, Jeddah serta Madinah pada 28 Februari dan 1 Mac 2026
Anwar dukacita konflik global Israel-AS serang Iran
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita terhadap konflik global dan menyifatkan ia sebagai ujian besar terhadap keamanan sejagat.
Beliau menegaskan bahawa penderitaan rakyat Gaza di Palestin masih belum berakhir, namun dunia sekali lagi berdepan ketegangan baharu susulan serangan oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.
Anwar turut mengingatkan bahawa tragedi demi tragedi yang berlaku seharusnya menjadi iktibar kepada masyarakat antarabangsa untuk menegakkan perpaduan dan nilai kemanusiaan, sekali gus mengelakkan penderitaan berterusan yang menimpa umat di pelbagai wilayah, lapor BERNAMA.










