SHAH ALAM, 1 MAC: Program memasyarakatkan agama dengan ilmu penting di negeri ini bagi membina pembangunan tamadun dan ketahanan ummah untuk berdepan cabaran dunia semasa.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Dato' Mohd Shahzihan Ahmad menjelaskan sesebuah tamadun bergantung kepada tiga teras iaitu ilmu, agama dan kekuatan ummmah keseluruhan.

Beliau menyifatkan program seperti Festival Turath Islami Selangor dan inisiatif seumpamanya mendedahkan umat kepada pengetahuan sekali gus membentuk pemahaman mengenai kepentingan ilmu.
Katanya, penganjuran majlis agama juga perlu dibudayakan dalam kehidupan, bukan diadakan secara bermusim supaya amalan sedemikian dijalankan secara berterusan.
"Banyak kempen dilaksanakan, contohnya kempen solat berjemaah dan Subuh Macam Jumaat. Lepas habis kempen, masjid kosong semula. Sebab itu penting budayakan," katanya.

Mohd Shahzihan juga mengakui sambutan terhadap program bercorak keagamaan masih kurang lantaran sebahagian masyarakat belum memahami kepentingan ilmu dalam kehidupan beragama.
Mengulas penganjuran program Ramadan di masjid dan surau, beliau menegaskan ia dibenarkan selagi mematuhi garis panduan, syariat dan ketetapan pihak berkuasa agama.
"Ramadan ini pesta, masjid dan surau boleh buat program asalkan ikut garis panduan dan syariat. Kalau ada silap, kita akan ambil tindakan.
"Kadang-kala ada ceramah yang suaranya sampai ke luar bilik kuliah, penceramah meninggi suara dan ada jua ceramah pro-parti (politik) sehingga orang mengadu pada JAIS," katanya.
Selain itu, beliau turut menasihati penganjur program supaya memastikan tiada pembaziran dalam majlis berbuka puasa melalui kecekapan pengurusan sumbangan makanan.
"Buatlah sekadar untuk berbuka, bukan untuk bermewah-mewah sampai membazir. Sedekah juga perlu berpada-pada," katanya.









