BAITULMUQADDIS, 28 FEB: Kira-kira 100,000 umat Islam menunaikan solat Jumaat di pekarangan Masjid Al-Aqsa di bandar yang diduduki, Baitulmuqaddis, walaupun sekatan diperketatkan oleh Israel, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA) yang memetik Pentadbiran Gabenor Baitulmuqaddis.
Menurut laporan itu, pasukan pendudukan menghalang ribuan jemaah daripada sampai ke Masjid Al-Aqsa dengan menyekat perjalanan mereka di pusat pemeriksaan Qalandia dan Pusat Pemeriksaan 300, masing-masing di utara dan selatan bandar itu.
Pasukan Israel kebelakangan ini meningkatkan kehadiran ketenteraan di seluruh Baitulmuqaddis dan di pintu masuk ke Masjid Al-Aqsa, dengan tujuan mengehadkan akses ke kawasan berkenaan.
Pihak berkuasa pendudukan turut mengeluarkan arahan melarang lebih 300 rakyat Palestin dari Baitulmuqaddis memasuki Masjid Al-Aqsa sepanjang Ramadan, menurut WAFA.






