Mufti Besar Baitulmaqdis dihalang masuk Masjid Al-Aqsa enam bulan

7 Ogos 2025, 8:33 AM
Mufti Besar Baitulmaqdis dihalang masuk Masjid Al-Aqsa enam bulan

GAZA, 7 OGOS: Pihak berkuasa Israel mengenakan larangan selama enam bulan terhadap Sheikh Muhammad Hussein, Mufti Besar Baitulmaqdis dan Wilayah Palestin, daripada memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Menurut Pentadbiran Baitulmaqdis yang memetik peguam Khaldoun Najm, keputusan itu dibuat selepas tamat tempoh larangan selama lapan hari sebelum ini.

Perintah terbaharu itu dilaporkan dikeluarkan susulan khutbah Jumaat beliau baru-baru ini yang mengutuk dasar penindasan Israel termasuk didakwa sengaja menyebabkan kebuluran terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Pasukan keselamatan Israel telah memanggil pemimpin agama itu pada 27 Julai dan menyerahkan perintah pengusiran selama lapan hari dari Masjid Al-Aqsa, dengan kemungkinan lanjutan.

Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin mengecam tindakan itu dan menyifatkannya sebagai cubaan terang-terangan untuk menyingkirkan pihak berkuasa agama daripada Al-Aqsa serta membungkam suara yang menentang perancangan Israel.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, kementerian berkata larangan itu mencerminkan sejauh mana pelanggaran yang dilakukan Israel di Semenanjung Gaza, Tebing Barat dan khususnya di Masjid Al-Aqsa.

-- BERNAMA-WAFA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.