SHAH ALAM, 27 FEB: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyerbu sebuah pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen perniagaan dan lesen hiburan di Sky Park One City, Subang Jaya, baru-baru ini.
MBSJ memaklumkan tindakan sitaan telah dilaksanakan terhadap premis terbabit, selain mengarahkan operasi dihentikan serta-merta selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“MBSJ akan terus mempergiat pemantauan serta menjalankan operasi penguatkuasaan secara berkala di seluruh kawasan komersial di bawah pentadbiran Majlis bagi memastikan setiap premis mematuhi undang-undang.
“Semua pemilik dan pengusaha pusat hiburan dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan,” menurut kenyataan dimuat naik menerusi Facebook rasmi pihak berkuasa tempatan itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan berkaitan aktiviti yang menyalahi peraturan MBSJ boleh menyalurkan laporan melalui saluran berikut:
Laman web rasmi MPSJ: www.mbsj.gov.my/ms/saluran-aduan
Pusat Kawalan Subang Jaya: 03-8024 7700.








