SHAH ALAM, 27 FEB: Kemudahan solat Tarawih akan disediakan di Aneka Walk, Seksyen 14 di sini, pada esok dan Sabtu ini serta 6 dan 7 Mac depan.
Program mengimarahkan Ramadan dari jam 7.30 malam hingga 10 malam itu bertujuan memudahkan pengunjung Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall dan kawasan sekitarnya menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah.
Selain itu, moreh turut disediakan untuk pengunjung.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif SA Sentral, Datuk Mohd Najib Ibrahim berkata kemudahan berkenaan disediakan walaupun Aneka Walk masih dalam fasa persiapan.
Aneka Walk merupakan sebahagian daripada pembangunan SA Sentral menerusi pelaburan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), yang bertujuan menghidupkan semula laluan pejalan kaki di antara Kompleks PKNS dan SACC Mall.
Dengan keluasan 4,500 meter persegi sepanjang 300 meter, Aneka Walk yang turut berfungsi sebagai hab acara dan budaya berupaya menampung sehingga 3,000 pengunjung pada satu-satu masa.
Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin berkata Festival Ramadan Selangor 2026 (FESTIRA 2026) kembali menyemarakkan suasana menjelang Aidilfitri tahun ini dengan sasaran kehadiran tiga juta pengunjung sepanjang penganjuran dari 30 Januari hingga 20 Mac.
Aneka Walk menjadi antara salah satu lokasi festival yang memasuki tahun ke-12 itu, dengan penyertaan lebih 1,000 peniaga yang turut berlangsung di Kompleks PKNS Shah Alam, Kompleks PKNS Bangi dan SACC Mall.








