SHAH ALAM, 24 FEB: Tindakan seorang individu membuang sampah pukal perniagaan ke dalam tong sampah tradisi di Jalan Agrotek mengundang padah apabila dikenakan denda RM1,000.
Tong sampah tradisi yang disediakan untuk kegunaan penduduk setempat itu didapati disalah guna bagi melupuskan sisa perniagaan, sekali gus menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan komuniti berhampiran.
Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menegaskan peniaga dan pekedai perlu melantik kontraktor kutipan sampah sendiri dan tidak boleh menggunakan kemudahan tong tradisi yang dikhaskan untuk penduduk.
"Peniaga atau pekedai perlu melantik kontraktor kutipan sampah sendiri. Tong Sampah Tradisi adalah untuk kegunaan penduduk" katanya menerusi Facebook.
Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan notis kesalahan akan dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil 4, UUK (4) Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDKL) 2007 terhadap pelaku terlibat.
Menurut MPKL, pemantauan dan rondaan berkala akan terus dipertingkat bagi memastikan kemudahan awam digunakan dengan betul serta kebersihan kawasan sentiasa terpelihara.








