KUALA SELANGOR, 24 FEB: Inisiatif Bantuan Asas Yuran Universiti (BAYU) memberi sinar baharu kepada pelajar dengan meringankan beban kewangan keluarga dan membuka peluang kepada anak Selangor mengejar impian ke menara gading.
Penerima BAYU, Nur Khaleedah Roslee, 22, berkata beliau amat bersyukur kerana terpilih menerima bantuan berkenaan yang disifatkan banyak membantu dari segi kewangan selain proses permohonan yang mudah dan cepat.
“Bantuan BAYU ini benar-benar memberi peluang kepada anak Selangor untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
“Saya juga menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) serta bercita-cita membuka taska atau tadika pada masa hadapan,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Muhammad Danial Hafiz Shafie, 20, berkata bantuan tersebut membantu keluarganya menampung bayaran yuran setiap semester sepanjang tempoh pengajiannya di Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Bestari Jaya.
Menurutnya, bantuan itu turut membolehkan keluarganya membuat penjimatan bagi perbelanjaan harian memandangkan hanya ibunya bekerja manakala bapanya merupakan orang kurang upaya (OKU) akibat diabetes.
“Saya juga berhasrat untuk mengikut jejak langkah ibu sebagai seorang guru Bahasa Inggeris dan mahu mendidik anak-anak dengan sebaik mungkin,” katanya.

Untuk rekod, BAYU merupakan inisiatif Kerajaan Selangor bernilai RM500 setiap semester bagi membantu mahasiswa di institusi milik Kerajaan Negeri, khususnya UNISEL dan Universiti Islam Selangor (UIS).
Pada 22 Februari lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari turut menyampaikan cek cura simbolik bernilai RM3 juta kepada penerima BAYU di UNISEL Kampus Bestari Jaya.
Menerusi inisiatif sama, sejumlah RM17.38 juta turut diperuntukkan bagi pelaksanaan Subsidi Yuran Pendidikan di bawah institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Negeri bagi tahun 2026.








