KUALA SELANGOR, 23 FEB: Universiti Selangor (UNISEL) terus mengukuhkan peranannya dalam memperluas akses pendidikan tinggi kepada anak negeri menerusi pelaksanaan Subsidi Yuran Pendidikan dengan sokongan penuh Kerajaan Negeri.
Naib Canselor UNISEL, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Hassan Basri berkata peruntukan RM17.38 juta yang diumumkan Kerajaan Negeri membuktikan komitmen berterusan dalam memastikan lebih ramai pelajar, khususnya daripada keluarga berpendapatan sederhana dan rendah, berpeluang melanjutkan pengajian.
“Pelaksanaan Subsidi Yuran Pendidikan ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri apabila 50 peratus yuran pengajian pelajar ditanggung sepenuhnya.
“Selain itu, tambahan RM1 juta bagi program Bantuan Asas Yuran Universiti (BAYU) dijangka memberi manfaat kepada sekitar 500 hingga 600 pelajar anak Selangor yang melanjutkan pengajian, khususnya di UNISEL,” katanya pada Majlis Iftar Perdana Warga UNISEL di Kampus Bestari Jaya, semalam.
Menurut beliau, bantuan kewangan tersebut bukan sahaja meringankan beban pelajar, malah memberi kesan menyeluruh terhadap peningkatan kualiti pendidikan dan pemerkasaan inovasi dalam kalangan warga kampus.
Hassan menegaskan UNISEL akan terus melaksanakan pelan pembangunan universiti selaras aspirasi Kerajaan Selangor dalam melahirkan modal insan berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Pada 14 November lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM17.38 juta bagi pelaksanaan Subsidi Yuran Pendidikan kepada 400 anak Selangor yang melanjutkan pengajian di UNISEL dan Universiti Islam Selangor (UIS), melibatkan tanggungan 50 peratus yuran bagi sesi kemasukan September 2026.








