SHAH ALAM, 23 FEB: Polis memburu empat lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kes curi tabung di sebuah masjid di Seksyen 7, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata laporan diterima pada jam 10.36 pagi daripada pengawal keselamatan masjid berusia 30-an.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi dan kesemua suspek dipercayai menaiki sebuah Toyota Avanza.
“Siasatan di lokasi mendapati masjid berkenaan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).
“Kita akan mendapatkan rakaman CCTV daripada pihak pengurusan masjid untuk tindakan lanjut,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Minazuddin Md Noor di talian 013-2236697 atau IPD Shah Alam di 03-55202222 bagi membantu siasatan.








