SHAH ALAM, 28 FEB: Tiga pelajar sekolah menengah maut selepas tiga motosikal dipercayai bertembung dalam kemalangan di Jalan Tambak Paya, Melaka awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 3.50 pagi itu meragut nyawa dua penunggang, Muhammar Adiff Farihin Mohd Anuar, 15, dan Muhammad Azmi Abdul Rahimah, 16, serta seorang pembonceng, Nur Khairiah Mat Mazlin, 16.
Seorang lagi penunggang, Muhammad Haziq Haikal Kassim, 18, mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Melaka, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 4.02 pagi.
“Siasatan awal mendapati dua motosikal dari arah Bukit Katil menghala ke Tiang Dua manakala sebuah lagi dari arah bertentangan.
“Setibanya di lokasi, ketiga-tiga motosikal dipercayai bertembung secara berdepan di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata dua penunggang dan seorang pembonceng disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Kes disiasat lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.








