SHAH ALAM, 23 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memaklumkan longkang tersumbat, kolam takungan cetek dalam lot persendirian serta hujan lebat luar biasa antara punca utama banjir kilat di Jalan Sri Manja dan Lebuhraya New Pantai Expressway (NPE) berhampiran Taman Dato’ Harun pada 17 November dan 30 Disember tahun lalu.
Insiden 30 Disember lalu memaksa penutupan sebahagian lebuh raya berkenaan.
Menurut laporan The Star, siasatan MBPJ mendapati kolam takungan Sri Manja cetek manakala longkang tanah di sekitarnya tersumbat dengan kelodak dan sampah sehingga menyekat aliran air.
“Banjir berpunca daripada hujan lebat, paras sungai yang meningkat serta kedudukan kawasan yang rendah.
“Sebanyak 182 milimeter hujan direkodkan dalam tempoh dua jam, melebihi kapasiti kebanyakan sistem perparitan bandar,” menurut MBPJ seperti dipetik akhbar berbahasa Inggeris itu.
MBPJ turut memaklumkan paras air di pertemuan Sungai Klang dan Sungai Punchala meningkat dan mencetuskan aliran balik sehingga menyebabkan kedalaman banjir mencecah 400 milimeter.
Pihak berkuasa tempatan itu berkata kerja pembersihan dan pengorekan kelodak telah dijalankan di longkang terjejas serta pam mudah alih digerakkan ke lokasi. Pemaju juga diarahkan membersihkan, melebarkan dan mendalamkan longkang selain memasang perangkap sampah di saluran masuk.
Laluan NPE di KM18.9 berhampiran Jalan Sri Manja merekodkan 17 kejadian banjir sejak 2015, dengan gangguan semakin kerap dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Dalam laporan berasingan, Pengurus Besar New Pantai Expressway Sdn Bhd, Ong See Chang berkata banjir berulang di lebuh raya itu berkait dengan kekangan sistem saliran di hulu serta isu penyelenggaraan longkang di bawah MBPJ, selain kolam takungan di tanah persendirian yang berkapasiti terhad.
“Hujan lebat hanya mendedahkan infrastruktur yang bergelut menampung peningkatan pembangunan di kawasan sekitar,” katanya.
Beliau berkata sistem takungan sedia ada termasuk pembetung tiga sel berdiameter kira-kira 0.6 meter tidak lagi mencukupi untuk menampung jumlah air hujan yang meningkat, sekali gus menyebabkan limpahan ketika hujan lebat.
Menurutnya, kekerapan dan tahap banjir semakin serius apabila laluan berkenaan ditutup sepenuhnya dua kali tahun lalu dan penambahbaikan menyeluruh sistem perparitan serta kawalan pembangunan lebih ketat di kawasan berisiko perlu dilaksanakan.
Sementara itu, MBPJ memaklumkan pihaknya memohon peruntukan RM2 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk memasang pam kekal di empat lokasi utama, namun setakat ini hanya projek Skalis di Jalan Sri Manja bernilai RM600,000 diluluskan.
“Kami berharap pemilik tanah, pemaju dan komuniti setempat dapat bekerjasama menyelenggara sistem perparitan di kawasan masing-masing serta mengelakkan pembuangan sampah secara haram,” menurut MBPJ.








