SHAH ALAM, 18 FEB: Mayat anggota bomba ditemui terdampar selepas hilang ketika cuba menyelamatkan adiknya yang lemas di Pantai Kandis, Bachok semalam.
Ahmad Badrul Naim Abdul Wahab, 32, ditemui berhampiran Chalet Pantai D’Aur, kira-kira 3.2 kilometer dari lokasi kejadian, pada jam 12.52 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Bachok Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata pengecaman mayat dibuat oleh isteri serta ibu bapa mangsa di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia untuk proses bedah siasat,” katanya ketika ditemui di Pantai Kandis, hari ini, lapor Berita Harian.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini diteruskan bagi mengesan adik mangsa, Ahmad Nurruddin, 21, yang masih hilang.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang semalam, Ahmad Nurruddin dilaporkan lemas bersama anak saudaranya, Mohd Ali Al Imran, 12, ketika mandi di pantai berkenaan bersama beberapa ahli keluarga lain.
Melihat kejadian itu, Ahmad Badrul bergegas terjun ke laut bersama abang iparnya, Mohd Ezad Abu Hassan, 40, yang juga bapa kanak-kanak terbabit.
Mohd Ezad bagaimanapun berjaya membawa anaknya ke daratan, namun Ahmad Badrul dan Ahmad Nurruddin dilaporkan hilang sebelum mayat anggota bomba itu ditemui hari ini.
Operasi SAR membabitkan polis dan pasukan penyelamat masih giat dijalankan di sekitar lokasi kejadian.








