SUKMA 2026: Terengganu negeri ketiga terima jemputan rasmi Selangor

15 Feb 2026, 8:00 AM
SUKMA 2026: Terengganu negeri ketiga terima jemputan rasmi Selangor
SUKMA 2026: Terengganu negeri ketiga terima jemputan rasmi Selangor
SUKMA 2026: Terengganu negeri ketiga terima jemputan rasmi Selangor
SUKMA 2026: Terengganu negeri ketiga terima jemputan rasmi Selangor

SHAH ALAM, 15 FEB: Terengganu menjadi negeri ketiga dikunjungi delegasi SUKMA Selangor 2026 dan Para SUKMA bagi menyampaikan jemputan rasmi temasya dwitahunan itu.

EXCO Sukan, Mohd Najwan Halimi berkata lawatan tersebut adalah tradisi setiap penganjuran SUKMA dan bertujuan memperkukuh kerjasama antara negeri, termasuk penyelarasan logistik serta penginapan atlet.

“Lawatan jemputan rasmi ini penting bagi memperkukuh kerjasama antara negeri supaya urusan penginapan dan kebajikan atlet kontinjen Terengganu dapat diurus lebih teratur dan berkesan sepanjang temasya berlangsung di Selangor nanti.

"Pada masa sama, surat penghargaan serta pengesahan penyertaan turut disampaikan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan badan bukan kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kunjungan itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA 2026, Dato’ Mohd Yazid Sairi; Pengarah Majlis Sukan Negeri Selangor, Mohamad Nizam Marjugi; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Pembangunan), Dato’ Rosli Latif; serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ahmad Shahrizal Yahya.

SUKMA ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 dengan upacara pembukaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), manakala Para SUKMA dari 5 hingga 14 September 2026.

Sebanyak 474 acara melibatkan 37 sukan akan dipertandingkan di sembilan daerah dengan 52 venue, manakala Para SUKMA membabitkan 10 sukan dan 316 acara di Petaling serta Klang.

Sebelum ini, Mohd Najwan memaklumkan kerja penaiktarafan venue SUKMA 2026 telah mencapai kira-kira 80 peratus setakat 8 Februari dan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya Mei ini, mengikut jadual sekretariat penganjuran.

Apa reaksi anda?