Media Selangor dilantik pengerusi media, penyiaran dan digital SUKMA 2026

24 Feb 2026, 8:07 AM
Media Selangor dilantik pengerusi media, penyiaran dan digital SUKMA 2026
Media Selangor dilantik pengerusi media, penyiaran dan digital SUKMA 2026
Media Selangor dilantik pengerusi media, penyiaran dan digital SUKMA 2026

SHAH ALAM, 24 FEB: Media Selangor secara rasmi dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kecil Media, Penyiaran dan Digital bagi temasya SUKMA dan Para SUKMA 2026, sekali gus memikul tanggungjawab utama menyelaras komunikasi rasmi temasya terbesar negara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree berkata pelantikan itu membuktikan keyakinan Kerajaan Negeri terhadap keupayaan agensi berkenaan mengurus komunikasi strategik dan penyiaran secara menyeluruh.

“Alhamdulillah, pagi ini diumumkan secara rasmi Media Selangor akan menjadi pengerusi Jawatankuasa Kecil Media, Penyiaran dan Digital bagi SUKMA.

“Media Selangor akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Penyiaran, Jabatan Penerangan serta pegawai komunikasi korporat dan perhubungan awam di peringkat PBT dan Pejabat Daerah dan Tanah bagi memastikan penyelarasan komunikasi berjalan lancar,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan SUKMA ke-22 dan Para SUKMA Selangor di Pusat Konvensyen MBSA.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree bercakap kepada media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 & Para Sukma Selangor di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 24 Februari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Menurut Mohamed Fareed, penyelarasan komunikasi yang tersusun amat penting bagi memastikan segala hebahan dan maklumat rasmi SUKMA 2026 disampaikan secara profesional, tepat dan berimpak tinggi.

Selain liputan menyeluruh sepanjang temasya berlangsung, Media Selangor turut memperkukuh publisiti menerusi media sosial, portal berita dan media cetak bagi meningkatkan capaian serta keterlibatan rakyat.

“Setakat ini capaian media sosial Media Selangor menunjukkan peningkatan yang baik. Insya-Allah, kita akan terus memperkukuh momentum ini melalui penghasilan kandungan dan pelaksanaan rancangan secara lebih meluas menjelang SUKMA,” katanya.

Beliau berkata persiapan awal termasuk mendapatkan terma rujukan (TOR) jawatankuasa telah dimulakan bagi memastikan perancangan komunikasi dan strategi digital lebih sistematik.

“Langkah seterusnya kita akan berhubung dengan media peringkat nasional seperti Astro, Media Prima, Bernama dan RTM supaya penyelarasan dapat berjalan dengan lebih baik,” ujarnya.

Mohamed Fareed menegaskan pihaknya komited menggalas amanah tersebut dengan cemerlang demi mengangkat nama Selangor di peringkat kebangsaan melalui penganjuran SUKMA 2026.

Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 & Para Sukma Selangor di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 24 Februari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Apa reaksi anda?