Naik taraf 14 masjid R&R siap tahun ini

28 Feb 2026, 12:01 AM
Naik taraf 14 masjid R&R siap tahun ini

SHAH ALAM - Sebanyak 14 masjid di laluan utama di negeri ini dikenal pasti untuk kerja baik pulih tandas dengan keutamaan kepada institusi yang menjadi lokasi rehat dan rawat (R&R).

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Dato' Mohd Shahzihan Ahmad menjelaskan usaha pembaikan itu masih dalam perancangan tetapi ia dijadual siap pada tahun ini.

"Tandas yang akan dibaik pulih melibatkan masjid-masjid di jalan-jalan utama. Kita utamakan yang macam R&R. Yang lain ikut keutamaan seterusnya," katanya kepada Media Selangor.

Beliau memberitahu peruntukan untuk menjalankan kerja naik taraf itu akan diagih mengikut keutamaan atas faktor kekangan kewangan dan permintaan tinggi daripada sesebuah masjid.

Dalam Belanjawan 2026, Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.4 juta untuk membaik pulih tandas meliputi 14 masjid di laluan utama negeri.

Usaha untuk menaik taraf kemudahan sedemikian bertujuan memastikan keselesaan pengunjung masjid termasuk kelompok warga emas dan golongan kurang upaya (OKU).

Ia juga selaras titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor supaya kemudahan asas di masjid sentiasa pada tahap terbaik termasuk tandas dan bilik mandi yang kerap digunakan pengunjung.

Pada masa ini, JAIS menguruskan sebanyak 445 masjid di seluruh negeri termasuk sebahagiannya di laluan utama negeri yang menjadi tumpuan pengguna jalan raya untuk berehat dan bersolat.

Selain itu, Mohd Shahzihan berkata Kerajaan Negeri memberi perhatian besar terhadap institusi pendidikan agama negeri termasuk emolumen guru meski urusan itu bawah kerajaan persekutuan.

"Daripada peruntukan yang diluluskan, 60 peratus digunakan untuk bayar gaji guru," katanya.

Beliau menjelaskan JAIS turut membantu guru mendapatkan laluan perjawatan lebih baik selain membangunkan prasarana institusi agama secara kerjasama dengan pelbagai institusi lain.

Katanya lagi, lebih 200 sekolah rendah agama (SRA) dan sekolah rendah agama integrasi (SRAI) di negeri ini terletak bawah pentadbiran JAIS.

"Selain itu, sekitar 23 Sekolah Agama Bantuan Kerjaaan (SABK) sudah jadi sekolah JAIS tetapi guna skim guru daripada kementerian. Ini semua untuk menjaga penjawatan guru," kata beliau.

Beliau memberitahu kejayaan institusi pendidikan agama juga hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam Selangor, Lembaga Zakat Selangor dan Perbadanan Wakaf Selangor.

Kedudukan 14 Masjid R&R. Grafik AZWA MALEK

Kemudahan rentas sempadan

Pengguna jalan raya di laluan utama negeri boleh memanfaat kemudahan yang disediakan 14 masjid terpilih untuk berehat dan bersolat sebelum meneruskan perjalanan.

Mereka yang bergerak dari ibu negara ke Pantai Timur sama ada melalui lebuh raya atau Jalan Karak-Kuala Lumpur boleh singgah di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Kelang dan Masjid Zakaria, Gombak Utara.

Pemandu dari Gombak ke Tanjung Malim, Perak atau Lebuhraya Lebuhraya Kuala Lumpur–Kuala Selangor (LATAR) pula ke Masjid Nurul Iman, Serendah dan Masjid A-Taqwa, Kalumpang yang terletak di Hulu Selangor.

Di Kuala Selangor pula, Masjid At-Taufiqiah Sentosa, Ijok dan Masjid Bandar Baru, Sungai Buloh sedia menyambut musafir yang menuju ke pusat bandar Kuala Lumpur.

Pelawat yang mahu ke Negeri Sembilan melalui Lebuhraya Kajang–Seremban (LEKAS) boleh bersolat dan berehat seketika di Masjid Raja Muda Musa, Semenyih di Hulu Langat.

Di selatan Selangor, kemudahan itu ada untuk pengguna dari Jalan Lukut-Sepang atau Lebuhraya Seremban-Port Dickson di Masjid Pekan Sepang sebelum meneruskan pemanduan ke pusat bandar atau ke Kuala Langat.

Di Kuala Langat, kemudahan berkenaan disediakan di Masjid Inayatul Rahman, Kampung Batu Laut dan Masjid Jamiatul Islamiah, Kampung Medan dekat Teluk Panglima Garang.

Setibanya di Klang, Masjid Al-Ansar di pekan Kapar menanti pengunjung yang ingin solat dan rehat seketika sebelum meneruskan perjalanan ke utara Selangor.

Sepanjang Jalan Klang-Teluk Intan, Masjid Jamiul Redhuan di Jeram, Masjid Makmuniah di Simpang 5 dan Masjid Muhammadiyah di Pancang Bedena menyediakan kemudahan itu untuk pemandu yang merentas sempadan ke Perak.

Apa reaksi anda?