‘Hero Tasik Biru’ jadi inspirasi, selamatkan ibu, dua anak

27 Feb 2026, 3:51 PM
‘Hero Tasik Biru’ jadi inspirasi, selamatkan ibu, dua anak

PUTRAJAYA, 27 FEB: Tindakan berani tujuh anak muda dikenali sebagai “Hero Tasik Biru” menyelamatkan seorang ibu dan dua anak kecil dalam nahas di Kundang, Rawang disifatkan sebagai contoh keberanian yang wajar dijadikan inspirasi kepada masyarakat.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata keberanian mereka lebih bermakna kerana kesemua anak muda berkenaan berasal dari tiga kampung berbeza di kawasan Tasik Biru dan tidak saling mengenali sebelum kejadian tersebut.

"Apabila ternampak kejadian (kemalangan), terdetik di hati untuk mereka bertarung nyawa dan menyelamatkan (mangsa). Saya rasa satu tindakan yang sangat berani.

"Jadi saya harap (tindakan itu) dapat menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk terus saling tolong-menolong dan membantu sesama kita," katanya kepada media selepas majlis berbuka puasa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama penggiat media dan pempengaruh di Kompleks Seri Perdana, di sini malam ini.

Tindakan pantas tujuh pemuda menyelamatkan seorang ibu dan dua anak kecil apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam tasik di Kundang, Isnin lalu turut mendapat penghargaan khas daripada Perdana Menteri.

Mereka ialah Mohd Shahrizal Jarami, 40; Mohamad Fahmi Ismail, 33; Hariz Ismat Ruzaiizan, 26; Mohamad Zulfadhli Mohd Nasir, 23; Muhammad Aiman Hakimi Mohd Rosnizam, 23; Muhammad Nor Haiqal Abd Karim, 23; dan Adam Syah Reza Hendri, 19.

Sementara itu, Mohamad Zulfadhli berkata dia bersama enam yang lain berasa bangga dan berbesar hati apabila dijemput menghadiri majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri.

Mohamad Zulfadhli menyifatkan pengalaman kali pertama menjejakkan kaki ke kediaman rasmi Perdana Menteri ibarat rezeki yang tidak disangka-sangka terutamanya apabila Anwar sendiri mengucapkan terima kasih kepada mereka.

"Kami tujuh orang ini sebenarnya tidak mengenali antara satu sama lain tetapi kita tinggal dalam satu kawasan kampung yang sama. Kami saling mengenali ketika cuba menyelamatkan ibu dan dua anaknya itu," katanya.

Mesra dikenali sebagai 'kecil' dalam kalangan rakannya, Mohamad Zulfadhli berkata mereka berhasrat untuk terus mengekalkan hubungan persahabatan.

"Kami akan teruskan berkawan. Seperti agama kami sendiri, adalah lebih baik untuk mengeratkan silaturahim sesama kami bertujuh," katanya.

- BERNAMA