Semangat islah, perubahan ke arah kebaikan teras pentadbiran negeri

28 Feb 2026, 2:01 AM
Semangat islah, perubahan ke arah kebaikan teras pentadbiran negeri
Semangat islah, perubahan ke arah kebaikan teras pentadbiran negeri
Semangat islah, perubahan ke arah kebaikan teras pentadbiran negeri
Semangat islah, perubahan ke arah kebaikan teras pentadbiran negeri
Semangat islah, perubahan ke arah kebaikan teras pentadbiran negeri

SHAH ALAM, 28 FEB: Dato' Menteri Besar menegaskan semangat islah atau perubahan ke arah kebaikan mesti menjadi nilai bersama dalam setiap lapisan pentadbiran negeri.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata nilai tersebut perlu diterjemahkan secara menyeluruh melalui pembaikan diri, pengukuhan pasukan serta sistem kerja yang lebih jitu, berintegriti dan berkesan.

Menurutnya, penetapan keutamaan yang betul menjadi asas penting dalam memastikan setiap keputusan dibuat dengan pertimbangan sewajarnya demi kepentingan rakyat dan negeri.

“Semangat islah untuk kebaikan dengan menetapkan keutamaan yang betul akan membantu kita membuat keputusan. Yang selebihnya kita serah pada Allah SWT,” katanya berucap pada Majlis Akrab Mahabbah Insani Ramadan di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam di sini malam tadi yang dihadiri kira-kira 1,000 hadirin.

Amirudin menambah, Selangor sebagai nadi ekonomi negara memikul tanggungjawab besar dalam memastikan setiap keputusan dibuat dengan keutamaan yang jelas dan berpaksikan kepentingan rakyat.

“Sebagai ‘heartbeat of Malaysia’ dan penggerak utama ekonomi negara, setiap keputusan di akar umbi mesti menetapkan keutamaan yang betul, mengambil kira masa depan negeri serta pertimbangan menyeluruh terhadap rakyat dan masyarakat,” katanya.

Amirudin turut menekankan kepentingan sistem pemantauan yang tersusun dan telus, termasuk penggunaan pendekatan digital serta penilaian menyeluruh bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif mencapai sasaran.

Katanya, kecanggihan sistem sahaja tidak memadai tanpa pedoman moral dan integriti dalam kalangan penjawat awam.

“Semangat islah dengan menetapkan keutamaan yang betul akan memandu kita membuat keputusan yang tepat. Bukan untuk mengharapkan pujian, tetapi berasaskan tanggungjawab dan nilai yang benar,” katanya.

Beliau yakin jika semangat tersebut dilaksanakan secara kolektif, negeri akan terus mencatat kejayaan, manakala setiap individu dalam pasukan turut berpeluang meraih pengiktirafan hasil komitmen dan kesungguhan masing-masing.